dera

KES dera dan buli bukan perkara baharu di negara ini.

Ia berlaku di semua peringkat, baik di sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat universiti dan juga kolej.

Bezanya ialah sejauh mana ia membabitkan penderaan mental, fizikal dan didedahkan kepada umum.

Ini kerana mangsa jarang tampil membuat laporan kerana malu dan takut.

Ini menyebabkan perbuatan negatif tersebut masih berterusan dan seolah-olah tidak mampu dikekang.

Pada 2 Jun lepas, negara digemparkan dengan kematian mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun, dipercayai akibat didera sekumpulan rakannya.

Zulfarhan dicederakan dengan seterika wap sehingga melecur teruk.

Lebih menyedihkan, mangsa yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Elektrik sebenarnya telah beberapa hari menderita sakit akibat didera.

Cuba bayangkan anda sendiri ditampar pada muka, ditumbuk dan ditendang bahagian badan.

Bagaimana pula jika tangan anda dikepit dengan pintu almari atau, anggota badan anda ditekap dengan sterika panas sehingga melecur?

Begitulah kesakitan yang ditanggung Allahyarham Zulfarhan.

Apakah yang menyebabkan pelajar dan remaja menjadi semakin liar, ganas sehingga sanggup membunuh rakan sendiri?

Persoalan yang melingkari pemikiran kita, mengapakah kes buli ini terjadi lagi?

Apa sudah jadi dengan sistem pengawasan di UPNM sehingga terjadinya insiden luar biasa itu?

Setakat ini, 36 individu telah ditahan reman dengan masyarakat mahu melihat sesiapa yang bertanggungjawab segera dihadapkan ke mahkamah.

Jenayah keji itu sesungguhnya tidak boleh dikompromi sama sekali.

Ia bukan sahaja tragedi buat Zulfarhan malah tragedi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Adakah kejadian itu sekali gus mencemarkan imej mahasiswa di negara ini?

Tidak dinafikan jenayah buli dan dera ini turut berlaku di peringkat mahasiswa dan bukan sahaja di peringkat sekolah menengah dan rendah.

Cumanya ia mungkin tidak dihebohkan atau kurang dibongkarkan.

Pelaku jenayah buli dan dera di peringkat mahasiswa ini jelas merencatkan pertumbuhan intelektual warga universiti.

Jika dilihat pada rekodnya, kes dera dan buli membabitkan pelajar sekolah serta penuntut universiti boleh dikatakan setiap tahun berlaku di negara ini.

Pada 25 Jun 2010, seorang pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi Kuala Lumpur, Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16 tahun, meninggal dunia disyaki akibat dibuli dan didera oleh pelajar senior.

Pada 3 April 2011 pula, murid Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7 tahun, meninggal dunia setelah dipukul seorang guru.

Selain itu pada 12 Mei 2015, seorang pelajar kolej vokasional di Bachok, Kelantan, Mohamad Nur Akram Zime, 16 tahun, maut disyaki dipukul pelajar senior di bilik asrama di kolej berkenaan.

Turut menyedihkan pada 26 April lepas, pelajar tahfiz di Johor Bahru, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffi dirotan pembantu warden sehingga kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong dan meninggal dunia.

Itu baharu sebahagian kes dera dan buli yang berlaku di negara ini.

Kes dera terbaru yang berlaku ke atas Allahyarham Zulfarhan sebenarnya menuntut pengajaran besar dan sangat bernilai.

Tolonglah jadikan ia sebagai permulaan dalam membuka kesedaran demi menjamin persekitaran tanpa atau bebas dera.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhary :

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling kasih mengasihi dan saling menyayangi sebagaimana satu badan.

“Apabila satu anggota badan merasa sakit, akan terasa sakit seluruh badan dengan rasa demam dan tidak bisa tidur”.

Jadi jelas kepada kita akan peri pentingnya membanteras sehingga akar umbi jenayah buli dan dera ini.

Kepada mereka yang menjadi mangsa dera atau buli, usah takut untuk melaporkannya kepada pihak sekolah mahupun pengurusan universiti.

Pihak sekolah dan universiti juga diminta jangan melindungi kegiatan dera dan buli sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan setiap kes yang berlaku.

Doa dan harapan rakyat pastinya mahu kejadian dera Allahyarham Zukfarhan merupakan yang terakhir.

Selain usaha dari pihak kerajaan, semua masyarakat dari segenap usia perlu memainkan peranan bersama bagi mengelakkan kejadian buli dan dera.

Usaha satu pihak sahaja tidak akan membantu menyelesaikannya.

Semoga tiada lagi insan yang menghadapi nasib seperti Allahyarham Zulfarhan dan mangsa dera lain yang meninggal dunia bersama air mata tanpa kerelaan ahli keluarga mereka. Al fatihah ..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here