Demonstrasi aman kini menjadi elemen penting dalam gerakan mana-mana parti politik dalam Malaysia memperjuangkan isu.

Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia jelas memperuntukkan demonstrasi ini boleh dilakukan namun ianya masih perlu dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Antaranya perlulah mendapat kebenaran dan permit polis dan sebagainya.

Harus difahamkan pengertian dan partisipan mana-mana demonstrasi di Malaysia bukanlah sepenuhnya dipopuliskan dalam kategori politik semata-mata.

Penulis lebih suka untuk menganjakkan pengistilahan awal nama ‘tunjuk perasaan’ kepada demonstrasi. Tunjuk perasaan dalam istilah ertinya nampak lebih kepada fizikal dan kasar bawaannya.

Demonstrasi di malaysia sebenarnya sudah lama bertapak dan berlaku . Selain ianya memfokuskan kepada demonstrasi pro kepada gerakan politik, namun masih ada juga demonstrasi di Malaysia dijalankan atas faktor kemanusiaan.

Demonstrasi Malayan Union, demonstrasi isu kes Natrah, demonstrasi isu kemanusiaan di Baling Kedah pada tahun 1974 antara yang mencorakkan awal gerakan massa (masyarakat) dalam ide mereka menuntut atau membantah isu yang dilaungkan.

Rakyat malaysia juga tidak pernah terkecuali melakukan demonstrasi membantah kekejaman Israel terhadap Palestin, isu Rohingya dan penaklukan Barat terhadap Iraq.

Dalam demonstrasi melibatkan perihal politik memang terdapat banyak gerakan ini dilakukan.

Demonstrasi di Masjid Negara tahun 1998 dan demonstrasi di Kesas Highway 2001 yang melibatkan penglibatan gerakan pembangkang Barisan Alternatif yang membantah penahan ISA antara siri-siri besar gerakan demonstrasi di Malaysia yang membabitkan isu politik.

Hari ini sudah kedengaran demo di antara kumpulan merah dan kumpulan kuning. Demo ini punyai pengikut berlawanan arus di mana kumpulan merah lebih mempertahankan status quo melayu dan kerajaan manakala demo kumpulan kuning fokusnya adalah memperjuangkan sistem pilihanraya yang lebih telus.

Penulis pernah terlibat dan hadir dalam kebanyakan siri demonstrasi di malaysia.

Penulis pernah berada di demonstrasi Masjid Negara tahun 1998, demonstrasi Kesas Highway 2001, demonstrasi Hindraf 2007 di Padang Chetty Klang, demonstrasi Anti Lynas (sekadar menyebut beberapa nama).

Walaupun perasaan asal sebarang demo itu nampak dari segi mata kasarnya mampu mengalahkan lawan, namun pada hakikatnya setelah beberapa lama masa berlalu ianya lebih dianggap sebagai meraikan isu pada waktu itu.

Perhimpunan anti Lynas misalnya, sudah tidak lagi kedengaran laungan isunya.

Demonstrasi politik di Malaysia jarang berpanjangan dan ianya bukanlah antara faktor utama memungkinkan sebarang perubahan keputusan pilihanraya . Demonstrasi di Malaysia lebih bersifat ‘ meraikan’ isu.

Barisan Nasional di negeri Selangor pada tahun 2008 tidak tumbang melalui demonstrasi jalanan, sebaliknya melalui isu rakyat.

Kerajaan Pas di Terengganu yang memerintah pada tahun 1999 hingga 2004 tidak tumbang melalui gerakan demonstrasi jalan raya, sebalik isu rakyat yang mendapat keutamaan pengundi.

Pandangan tentang perkara demonstrasi dan jumlah kehadiran bakal menentukan kemenangan parti adalah terlalu subjektif, ia bukan faktor besar dalam mempengaruhi pandangan pelbagai lapisan mayarakat.

Joshua Wong pemimpin gerakan mahasiswa di Hong Kong telah berjaya melumpuhkan sebentar ekonomi negara itu apabila gerakan ‘occupy’ nya yang membantah campurtangan langsung negara China dalam sistem pemilihan calon wakil rakyat di Hong Kong mendapat sambutan besar rakyat.

Namun ianya tidak dapat bertahan lama apabila Hong Kong hari ini sistemnya masih berjalan seperti biasa. Apa pun signal kehadiran Joshua itu tetap akan terpahat dalam siri perjalanan demokrasi di Hong Kong.

Bagi penulis demonstrasi sekadar keraian biasa yang diperuntukkan dalam sistem demokrasi untuk membenarkan rakyat menyuarakan bantahan dan pandangan.

Sebarang perubahan dalam sistem kenegaraan hanyalah ditentukan dalam melalui undi di pilihanraya . Ini adalah elemen utama pilihan untuk rakyat menyatakan pandangan.

Namun sebagai negara yang mula membuka erti demokrasi ke tahap yang lebih baik, seharusnya para demonstran seharusnya tidak terlalu emosi hingga boleh merisaukan kelompok masyarakat yang lebih berpendirian untuk mendiam diri.

Sebarang demonstrasi ganas pada hakikatnya akan ‘ back fire’ kepada penganjur dan pemiliknya.

Tidak salah untuk kita meraikan pesta demokrasi. Mencontohi negara lain yang kerap melakukan demonstrasi juga ada kala patut dijadikan panduan.

Panduan dalam erti kata ia begerak aman, tenang asalkan mesej yang hendak diluahkan itu sampai.

Azhar Lineker adalah salah seorang pembaca setia Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah merupakan pandangan peribadi beliau.

LEAVE A REPLY