fattah amin
Cover image via moviesinfo

TANPA uniform juruterbang yang menambah segak perawakannya, personaliti Fattah Amin sepintas lalu terlihat ‘lambat panas’. Keperibadian yang mudah menerbitkan skeptikal ‘dingin’ tersebut diperjelaskan lagi dengan pengakuan anak Kuala Lumpur itu bahawa sejak azali, dia sememangnya pendiam dan agak pemalu.

“Sejak dari sekolah, saya jenis yang bercakap apabila perlu. Kawan-kawan rapat dan keluarga saya tahu sangat perkara itu. Pendiam adalah nama kedua bagi saya, suka atau tidak inilah saya,” luah Fattah.

Dewasa dalam persekitaran yang tiada ubahnya dengan jejaka kota yang lain. Fattah berusaha terbang menjadi sebahagian bintang di langit seni tanah air selepas menjadi finalis Hero Remaja edisi 2011/2012.

Mulanya, sayap karier jejaka berusia 26 tahun itu tidak cukup kembang untuk menebarkan wangian bakatnya. Adakala, laluannya terhenjut ditujah angin namun tidak pula dia tersadung atau terjunam dari cenuram karier.

Sejak mula diperkenalkan dengan dunia lakonan pada tahun 2013, nama Fattah disebut orang tatkala muncul menghiasi drama rantaian Playboy Itu Suami Aku.

Boleh dianggap sebagai introduksi, drama lakonannya bersama Risteena Munim tersebut tetap diperhatikan biarpun daripada situlah Fattah memperoleh gelaran pelakon kayu.

Tidak kurang juga didakwa menyandarkan penampilan untuk meraih tempat dalam industri, Fattah selebihnya membentuk graf lakonannya tanpa sesuatu yang benar-benar melonjakkan namanya.

Sewaktu nama-nama lain seperti Zul Ariffin, Shukri Yahaya dan Saharul Ridzwan mendesut kencang dengan drama-drama popular yang merimbunkan pengaruh populariti buat mereka, dia sedikit terkebelakang. Fattah masih bekerja dengan naskhah-naskhah romantik dan komedi yang sekadar mengisi slot layar skrin.

Ledakan populariti

Sehinggalah judul Suri Hati Mr. Pilot mula disiarkan, tidak semena-mena jutaan mata seperti terkena panahan karisma Fattah. Seiring hebatnya kuasa gimik dan promosi, terjemahan cinta dan kemelut emosi Ejaz lakonan Fattah dan Warda (Neelofa) mudah merasuk khalayak.

Jika sebelum ini, dia jarang dipedulikan, kini jelingannya mudah mencairkan hati peminat terutama wanita.

“Tiada sesiapa menyangka drama itu boleh mencapai tahap sedemikian. Bagi saya ini semua rezeki. Kebetulan lakonan dan pautan kimia antara saya dan Neelofa menjadi.

“Saya sendiri memang sudah lama pasang impian mahu bekerja dengan Michael Ang. Kali pertama bekerja dengannya pada 2013 menerusi drama bertajuk Arah Ke Kuburmu

“Sebenarnya dalam beberapa naskhah sebelum ini, saya cuba menafikan komen-komen orang terhadap saya, kayu, stereotaip, berlakon harapkan muka sahaja.

“Untuk beberapa judul sebelum terlibat dengan drama sebelum Suri Hati Mr. Pilot, saya cuba pelbagai genre drama, aksi dan komedi.

“Apa juga komen sebelum ini adalah teguran dan kritikan membina saya. Kritikan penonton membuatkan saya terfikir sampai bila saya harus jadi begitu.

“Ada juga yang menyarankan saya masuk kelas lakonan. Saya jadi seorang yang rajin belajar dan merujuk kepada yang arif apabila mendapat sesuatu watak. Saya wajibkan diri kenal dengan karakter lakonan saya sebelum masuk ke lokasi.

“Namun, jika sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh pun, semua itu bukan jaminan untuk tarik perhatian khalayak sehingga jadi sebutan. Ia bergantung juga kepada nasib dan rezeki,” jelas Fattah panjang lebar.

Graf lakonan

Masuk ke topik yang lebih serius, Fattah mengaku, pernah mengambil mudah saat menjayakan tawaran drama pada awal kemunculannya.

Jikalau dahulu, dia sekadar membaca dan menghafal skrip serta menjayakan bahagiannya sahaja dalam sesebuah drama. Kini, sikap tersebut berubah dan semakin hari, dia cuba mencari jalan agar setiap kerjanya dilakukan dengan cara terbaik demi kepuasan, khususnya diri sendiri.

“Mula-mula berlakon dahulu, saya rasakan lakonan bukan bidang saya, Saya pernah putus asa saat dicemuh kayu dan dengan macam-macam pandangan negatif.

“Alhamdulillah, atas sokongan keluarga dan kawan-kawan terdekat, saya teguk semua cemuhan itu jadi pembakar semangat.

“Sekarang saya sudah benar-benar jatuh cinta dengan lakonan,” katanya yang pernah berguru daripada sahabat baiknya, seorang juruterbang demi menjayakan watak Ejaz.

Bercakap tentang graf karier dan jangka hayat populariti seseorang pelakon, Fattah semakin pandai memberi hujah.

Kata Fattah, jika populariti yang dikejar dalam karier, kelak suatu hari nanti, populariti jugalah boleh menjadi penyebab yang akan menjatuhkan reputasi seseorang.

“Maksud saya, jika bekerja untuk popular semata-mata. Bagi saya, popular atau anugerah bukan sesuatu yang menjadi fokus.

“Buat masa ini, saya cuma mahu memberikan lakonan yang memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Paling membahagiakan, usai Suri Hati Mr. Pilot disiarkan, Fattah merasai sebuah pengalaman luar biasa yang paling manis sepanjang tiga tahun bergelar pelakon.

“Selama ini, kalau ada drama disiarkan, orang hanya perasan itu lakonan Fattah Amin.

“Tetapi sekarang, orang bercakap dan panggil saya dengan nama watak lakonan iaitu Ejaz Fakhri. Itu paling seronok.

Sesuatu yang semakin berakar di jiwa juga, Fattah semakin selesa menjadi orang lain dalam lakonan.

“Bila jadi pelakon, satu perkara yang suka ialah saya boleh jadi orang lain dan tidak perlu jadi diri sendiri. Seronoknya, tiada orang akan marah apabila kita memberi ekspresi, nak menangis atau melalak, buatlah selagi tidak lari daripada karakter. Itu antara kepuasan saya sekarang,” tutupnya.

Episod cinta

Dalam masa sama, Fattah tidak menafikan, penerimaan khalayak terhadap dirinya kini turut dibantu ‘senjata’ sensasi seperti gosip dan teka-teki cinta lokasi bersama Neelofa.

Elemen tersebut merupakan gunung berapi kecil yang mampu menghangatkan sambutan khalayak terhadap impak apabila Suri Hati Mr. Pilot disiarkan di kaca televisyen.

Usai 16 episod bersiaran Khamis lalu, rupa-rupanya itu bukan penamat asmara Fattah dan Neelofa.

Kisah mereka saling bertemu keluarga tiba-tiba mula dihidu apabila aktres tersebut sudah membawa Fattah turut serta dalam majlis keluarganya, sementara Fattah juga dikatakan mempertemukan Neelofa dengan keluarganya.

Sebaik soalan tersebut diajukan, secara tegas Fattah menolak untuk mengulas. Tanpa mengiakan atau menafikan berita tersebut, Fattah memilih jalan selamat.

“Saya minta maaf banyak-banyak, saya enggan komen tentang soal tersebut. Didesak macam-mana pun saya memilih untuk tidak menjawab soalan tersebut,” ujarnya dengan penuh diplomasi.

Baca lagi: Percintaan Fattah Amin, Neelofa Hanya ‘Sandiwara’

LEAVE A REPLY