de fam

Selepas setahun mengalirkan nama dalam arus muzik perdana, tiga jelitawan iaitu Sophia Liana, Cik Manggis dan Azira Shafinaz yang menggelarkan penyatuan mereka sebagai De Fam kini semakin selesa dengan perjuangan yang dimulakan.

Meledak dengan single sulung berjudul Supergirls, De Fam bagaimanapun tidak terkecuali daripada panahan negatif. Mereka terpalit tuduhan terlalu mengagungkan muzik berkonsep urban.

Dakwaan tersebut diperkuatkan dengan peluncuran single yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris, bahkan ditokok dengan rentak muzik electronic dance music (EDM) dan imej sofistikated setiap anggota kumpulan.

Sedar berada dalam aliran penuh kerikil berbatu, De Fam tidak mudah melatah. Mereka sebaliknya berpegang atas prinsip bertahan dengan segala kutukan demi kelangsungan muzik yang baru berusia setahun jagung.

Urban

Dijentik dengan persoalan muzik yang disifatkan terlalu urban, Sophia atau nama lengkapnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri, 26, memberi mukadimah. Dia tidak menafikan kenyataan yang cukup difahami, namun mempunyai penjelasan tersendiri.

“Ya, kami tidak menafikan perkara tersebut. Ada yang mengkritik kami terlalu mengikut budaya Barat sehingga melupakan nilai ketimuran. Bagaimanapun, kami masih berpijak di bumi nyata. Mungkin masih terlalu awal untuk menghakimi sedangkan usia kami dalam industri masih baharu.

“Banyak lagi karya yang ingin diketengahkan dan sasaran kami bukan hanya untuk pasaran Malaysia. Alhamdulillah, perlahan-lahan kami membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Setakat ini, De Fam mendapat respons yang cukup baik di Filipina,” ujar Sophia.

Tambahnya lagi, tempoh tujuh tahun mengenali antara satu sama lain membuatkan De Fam semakin matang untuk menghasilkan karya muzik yang bukan hanya bersifat urban tetapi mempunyai unsur kemelayuan.

“Ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan pilihan muzik yang kami bawa tetapi rasanya lebih baik kami membikin sahaja apa yang dirasakan selesa. Tujuh tahun bersama, kami bukan sahaja berkawan, bahkan sudah masak dengan perangai masing-masing. Jadi, biarlah apa orang mahu cakap.

“Sejujurnya, kini tidak banyak kumpulan vokal wanita di Malaysia. Saya akui, senario tersebut memberi kelebihan buat De Fam. Bagaimanapun, ia juga satu cabaran buat kami kerana kami berlainan berbanding penyanyi sedia ada.

“Untuk single seterusnya nanti, De Fam akan menyerapkan elemen kemelayuan dalam karya, namun ia masih sebuah single berbahasa Inggeris sepenuhnya,” ulas Sophia yang turut bertindak sebagai rapper selain vokalis.

Berpecah

Bukan sahaja membina nama sebagai De Fam, setiap anggota kumpulan turut memiliki nilai komersial tinggi untuk bergerak solo. Disogok pertanyaan tentang ura-ura perpecahan kumpulan yang pernah berduet dengan Brandon Beal menerusi lagu With You itu, Azira tegas menafikan hal tersebut.

“Perkara itu tidak pernah diutarakan dan ia tidak akan berlaku. Bukan senang untuk sampai ke tahap sekarang dan saya tidak akan benarkan ia berlaku hanya kerana masing-masing mempunyai alasan sendiri untuk bergerak solo.

“Kami baru setahun lebih dalam industri, banyak lagi perkara yang perlu diterokai. Macam saya, walaupun sibuk berlakon, saya meletakkan De Fam di tempat paling atas. Kalau jadual saya bersama De Fam lengang, baru saya akan terima tawaran lakonan,” getus Azira atau nama sebenarnya, Azira Shafinaz Ramlan.

Wanita yang kini sedang hangat dengan drama berjudul Mr. Donut Karamel itu menambah, kebebasan kerjaya yang tidak menghalang mereka bergerak solo, membuatkan khalayak salah faham bahawa De Fam akan berpecah.

“Tiada istilah berpecah buat masa sekarang. Kami menyayangi diri masing-masing lebih daripada seorang kawan. Bahkan, kami mempunyai hubungan yang cukup rapat seperti adik-beradik. Apa sahaja perkara yang kami kerjakan, secara solo atau bersama akan turut mendatangkan pengaruh ke atas nama dan populariti De Fam,” ujar Azira.

Mengheret kumpulan yang berjaya menempatkan diri ke dalam dua pencalonan iaitu Artis Baharu Terbaik dan Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu menerusi Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung 18 Disember depan, Cik Manggis berpendapat pencapaian tersebut adalah suatu permulaan baik buat De Fam.

“Pencalonan untuk AIM22 barangkali mampu membuka mata khalayak tentang keberadaan De Fam dalam industri muzik. Kami tidak meletakkan sebarang harapan, namun kalau menang, ia satu bonus.

“Saya akui, muzik kami lebih cenderung kepada peminat bukan Melayu. Justeru, pencalonan dalam AIM22 sedikit sebanyak menjadi batu loncatan untuk kami dikenali tanpa batasan bangsa,” katanya.

Sebelum menutup pertemuan, De Fam turut disuakan dengan persoalan tentang sikap besar kepala atau diva yang dikatakan menjadi antara punca mereka kurang mesra di mata peminat.

“Barangkali, ada ketikanya kami terlepas pandang menyebabkan orang mudah melontarkan pendapat tentang kesilapan kami. Setiap seorang daripada kami memiliki perangai yang berbeza-beza.

“Kalau ada tingkah lagu yang kurang menyenangkan, kami akan berusaha untuk memperbaikinya demi kepentingan De Fam.

“Jauh lagi perjalanan kami, insya-Allah kami akan perbaiki apa yang kurang,” ujar Cik Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Samsudin, 27, menutup bicara.

LEAVE A REPLY