Datuk Yusof haslam
Cover image via Berita Harian

Program Tanya Finas 2.0 di ibu negara, malam tadi, tegang apabila Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam dituduh menggunakan pengaruhnya sehingga filem anaknya, Munafik dan Mat Motor (Kami Mat Motor Bukan Mat Rempit) terbitan Skop Production tersenarai sebagai finalis Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28).

Terkilan dengan tuduhan yang tidak berasas itu, Yusof yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) membuat keputusan untuk tidak lagi terbabit dalam penganjuran FFM pada masa akan datang.

“Saya beremosi tadi apabila ramai pihak menuding jari dengan mengatakan ada berlaku kepentingan peribadi apabila filem anak saya dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik. 

“Saya tak tahu pun siapa juri sebenarnya. Selepas ini biarlah orang lain yang uruskan. Tak mahulah nanti saya dituduh ada konflik peribadi memandangkan saya masih aktif dalam penerbitan filem,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu berakhir.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Pansha.

Pada majlis itu, Yusof diasak dengan soalan rata-ratanya daripada kalangan penggiat seni yang mempertikai ketelusan PFM sebagai penganjur FFM 28.

Sementara itu, Kamil menyifatkan majlis menyuarakan cadangan itu mencapai sasaran dan beliau berpuas hati dengan maklum balas diterima.

Kamil berkata, FINAS terbuka dengan pelbagai cadangan untuk menambah baik penganjuran FFM pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here