datuk shake
Cover image via The Star

Teka-teki pengetua, pengacara dan juga juri tetap Akademi Fantasia 2016 (AF2016) akhirnya terjawab pada konsert minggu pertama program realiti itu yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam kelmarin. Penyanyi terkenal Datuk Shake diumumkan sebagai pengetua AF2016 manakala barisan juri tetap diterajui Datuk Ramli MS dan Datuk AC Mizal.

Pelawak Zizan Razak dan penyanyi serta pelakon Alif Satar pula menggalas tugas selaku pengacara konsert.

Terdahulu, AC melakukan gimik sebagai pasangan pengacara Zizan sebelum mengumumkan dirinya juri tetap program itu.

Dalam pada itu, Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 66, berkata, tawaran menjadi pengetua AF2016 yang datang sebelum Ramadan tidak pernah diduga.

“Keluarga hairan saya tiba-tiba kembali ke tanah air dan mereka ingat saya ada persembahan di sini.

“Saya tidak memberitahu keluarga dan orang sekeliling mengenai perkara ini kerana ia kejutan Astro buat penonton.

“Disebabkan itu, saya juga tidak berkesempatan menghadiri kelas latihan peserta untuk melihat persiapan mereka,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Umi itu berkata, dia bersetuju membimbing peserta AF2016 selama lapan minggu kerana ingin berkongsi pengalamannya selama 40 tahun dalam industri muzik.

“Dengan pengalaman membina karier nyanyian di Eropah dan Amerika Syarikat, saya berharap dapat menggilap lagi vokal peserta,” katanya.

Mengulas persembahan minggu pertama, Shake berkata, terdapat beberapa peserta berpotensi namun masih perlu memperbaiki kelemahan persembahan serta vokal.

“Bagi dua minggu pertama ini, saya mahu peserta santai dulu dan memberi mereka kebebasan memilih lagu yang disukai,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pemilihan Shake selaku pengetua berdasarkan sumbangannya dalam industri seni tanah air.

“Shake artis Malaysia yang berjaya mengembangkan karier nyanyiannya di peringkat antarabangsa.

“Kami berharap tunjuk ajar daripada Shake dapat memperkenalkan nama peserta ke luar negara nanti,” katanya.

Ujar Raqim lagi, konsert minggu pertama AF2016 berjaya ‘trending’ di media sosial biarpun sering menerima kritikan penonton sebelum ini.

“Sering kali orang mempertikaikan adakah AF masih relevan untuk diteruskan. Namun, setiap musim kami mendapati program realiti ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Malah, AF musim ini turut menerima tajaan banyak pihak,” katanya.

Konsert minggu pertama menyaksikan tiada penyingkiran dan semua 14 peserta berpeluang memperbaiki kelemahan untuk persembahan Ahad ini.

Pelajar yang mendapat keputusan tertinggi adalah Amir diikuti Reshma, Ara, Afi, Asha, Amal, Rahila, Halmy, Rais, Zarol, Riana, Jasper, Ikram dan Isa.

AF tahun ini menampilkan tenaga pengajar profesional iaitu Edry Abdul Halim sebagai pengarah seni muzik, Linda Jasmine (tarian dan koreografi), Shahrolbahri (vokal), Mas Idayu (persembahan vokal) dan Ellie Suriaty Omar (seni persembahan).

Rutin harian peserta di akademi boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY