Datuk Nicol David
Foto oleh New Straits Times

KUALA LUMPUR: Kekalahan demi kekalahan yang dialami Datuk Nicol David tidak pernah menjadi penghalang buat Ratu Skuasy Negara itu untuk terus berjuang di peringkat antarabangsa.

Nicol terus bertegas mahu beraksi dan langsung tidak pernah terfikir untuk bersara ketika ramai memberi tanggapan negatif berhubung prestasinya ketika ini.Terbaru pemain kelahiran Pulau Pinang itu tewas pada separuh akhir Terbuka Wadi Dengla di Mesir minggu lalu.

Malah Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Yi How turut berkata, bukan keperluan buat Nicol kembali ke Malaysia ketika ada yang menyuarakan pendapat untuk pemain yang kini menghuni ranking kelima dunia berbuat demikian rentetan siri kekalahan yang berterusan.

Malah, Nicol masih dahagakan kejayaan dan pemenang Olahragawati Kebangsaan 10 kali itu menegaskan dia akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik.

“Tewas kepada Raneem El Welily di separuh akhir Terbuka Wadi Dengla itu sesuatu yang mengecewakan tapi saya tewas kepada juara sebenar kejohanan itu”.

“Saya akan terus berusaha dan tidak akan mengalah,” kata Nicol ketika mengulas mengenai kekalahannya itu.

Kekalahan Nicol itu disifatkan sebagai bermaruah apabila dia tidak mengalah hingga ke set kelima namun nasib tidak menyebelahinya apabila tewas 11-9, 11-13, 7-11, 11-8, 7-11 dalam perlawanan yang memakan masa satu jam 10 minit. Rekod pertemuan Nicol dan Raneem bagaimanapun masih berpihak kepada Nicol dengan 18 kemenangan berbanding tujuh kemenangan yang mana empat pertemuan terakhir mereka memihak kepada pemain Mesir itu.

Nicol yang masih kekal pemain terbaik negara dengan belum mampu dicabar mana-mana pemain tempatan, akan mengetuai cabaran negara ke Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita di Perancis pada 27 November ini.

LEAVE A REPLY