Sumber foto: AP

DAP tetap akan menunggu keputusan PKR, terus berbincang dengan rakan-rakan sekutu dan enggan menunggu keputusan dengan tempoh masa yang lama sebelum keputusan berhubung pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang dicapai.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berharap isu itu tidak dibiarkan berlarutan lama.

“Kami akan terus berbincang tetapi tentu tidak boleh terlalu lama. Sekiranya terlalu lama maka ini tidak praktikal.

“Oleh itu, kami harap kami dapat terus berbincang dan menyakinkan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan berdasarkan saling hormat menghormati,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, PKR memutuskan masih belum yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan PRN mengejut di Pulau Pinang.

PKR sebulat suara berasakan Pulau Pinang tidak memerlukan pilihan raya mengejut, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail, seperti dihasratkan DAP. Sumber: themalaymailonline.com

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu malam tadi setelah mengambil kira pandangan masyarakat.

Kepada satu soalan, Lim berkata beliau tidak mahu tetapkan tempoh (membuat keputusan) kerana PKR akan menghantar delegasi pimpinan tertinggi untuk menerangkan keputusan itu kepada pimpinan DAP dalam masa terdekat.

“Kita perlukan tempoh yang munasabah… Jika anda bercakap mengenai (pilihan raya) tahun depan, itu tidak mungkin buat masa ini. (Bila) kita bercakap mengenai pilihan raya ia perlu dilaksanakan segera, kita tidak boleh biarkan berlarutan sebegini.

“Kecuali berlaku situasi baharu atau perubahan. Tetapi buat masa ini ia perlu diputuskan segera,” katanya.

Ditanya sama ada PKR tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan PRN itu, Lim berkata DAP dan PKR akan berbincang.

Rabu lepas, Lim memberitahu sidang berita bahawa DAP akan memberi masa kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PKR dan Amanah) untuk berbincang sebelum membuat keputusan mengenai PRN itu.

Amanah bagaimanapun, telah memutuskan menyokong PRN itu diadakan.

PRN itu dicadangkan berikutan tuduhan rasuah terhadap Lim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here