Sumber imej: FMT

Cadangan untuk mengadakan pilihan raya mengejut atau pilihan raya kilat negeri jelas menunjukkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang sedang dalam keadaan gelisah dan gelabah, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof.

Beliau berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

DAP Beri Masa Kepada Sekutu Bincang Pilihan Raya Mengejut Negeri. “Kita akan berikan masa secukupnya untuk mereka membuat pertimbangan tapi tidaklah selamanya,” kata Lim Guan Eng. Sumber foto: Bernama

“Tindakan kerajaan negeri ini seolah-olah macam DAP yakin bahawa pendakwaan terhadap Lim itu akan lekat (disabit kesalahan). Tindakan ini juga seolah-olah nak selamatkan Lim dan DAP.

“Kami melihat dalam isu ini sepatutnya DAP tak buat tindakan yang mendatangkan masalah kepada rakyat … buat satu perkara yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Rabu.

Beliau berkata pilihan raya negeri yang akan diadakan itu sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Rakyat juga akan menghadapi dua pilihan raya, iaitu pilihan raya negeri dan Parlimen. DAP mengambil jalan untuk mengadakan sesuatu yang boleh mendatangkan masalah sehingga boleh menyebabkan prestasi DAP, ketua menteri terhakis dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi berkata PAS Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Laporan media baru-baru ini memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang.

Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu.

LEAVE A REPLY