DoJ

BUKAN sekali tetapi dua kali Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terbaharu, pada 15 Jun lepas, DoJ memfailkan dokumen lebih dari 200 muka surat di sebuah mahkamah di California sebagai usaha merampas aset dan hartanah mewah yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dilarikan 1MDB.

Tahun lalu, DoJ mengumumkan hasil siasatannya dengan mendakwa berlaku kecurian lebih dari RM19 bilion dalam 1MDB yang juga melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

1MDB menyifatkan tindakan terbaharu DoJ itu sebagai tindakan tanpa bukti yang jelas, selain bertegas tidak ada kaitan langsung dengan permohonan AS.

1MDB juga memaklumkan tidak menerima sebarang panggilan daripada DoJ.

Persoalannya, kenapa DoJ memfailkan saman sivil berkenaan tanpa berhubung dahulu dengan 1MDB?

Adakah terdapat desakan yang membabitkan campur tangan rakyat negara ini supaya DoJ berbuat demikian?

Jika benar, siapa individu berkenaan?

Kenapa mereka berbuat demikian?

Adakah ini usaha berterusan individu dalam negara ini yang cuba melibatkan campur tangan asing bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Kenapa pihak berkenaan begitu bersungguh-sungguh mahu mendapatkan campur tangan asing?

Ternyata, perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian sebagai salah satu usaha campur tangan oleh pihak luar untuk mengganggu-gugat kedaulatan negara.

Isu 1MDB hanya digunakan sebagai jambatan bagi tujuan tersebut.

Terdapat banyak lagi isu besar di dunia ini, kenapa mereka hendak memberi tumpuan lebih terhadap Malaysia?

Kenapa mereka bersungguh-sungguh memberikan tumpuan terhadap isu 1MDB?

Isu 1MDB melibatkan syarikat negara ini.

DoJ sepatutnya membuat penyiasatan dengan kerjasama pihak berkuasa negara ini tanpa bertindak sendirian.

Ini bermakna, secara keseluruhan DoJ tidak mengikut lunas undang-undang sebenar apabila bebas membuat tuduhan selain tidak perlu siasatan terperinci dan bukti-bukti kukuh.

Adakah rakyat sewajarnya terus mempercayai dengan apa yang dikeluarkan DoJ itu?

Ternyata tindakan itu agenda terancang individu tertentu dalam negara ini yang berterusan menyerang 1MDB semata-mata mahu menggulingkan Najib.

Jabatan Peguam Negara telah berkali-kali menegaskan sebelum ini bahawa siasatan yang dibuat menunjukkan Najib tidak terlibat dalam dakwaan aktiviti pengubahan wang haram, malah langsung tidak wujud apa-apa bukti berasas untuk sebarang tindakan mahkamah.

Rakyat sewajarnya berhati-hati tentang tindakan campur tangan asing. Kita perlu faham secara keseluruhan apa yang sebenarnya berlaku.

Minda rakyat Malaysia perlu berubah, jangan hanya dengan mudah mempercayai apa yang dilaporkan oleh media asing.

Berkemungkinan tindakan DoJ itu adalah agenda negara asing yang mencemburui keharmonian Malaysia kerana mengamalkan dasar kesederhanaan sebagai sebuah negara Islam.

Malaysia mudah menjadi sasaran kerana majoriti rakyatnya beragama Islam yang dikenali boleh bertoleransi antara masyarakat pelbagai kaum.

Semua ini adalah tidak mustahil berlaku.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan DoJ tidak pernah berhubung mahupun memohon maklumat tentang 1MDB daripada pihaknya sebelum mengeluarkan saman sivil berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, ini bukan kali pertama DoJ bertindak sedemikian kerana pada saman sivil yang pertama, mereka juga tidak merujuk apa-apa maklumat daripada SPRM.

Dzulkifli juga difahamkan bukan sahaja SPRM, malah DoJ tidak maklum kepada pihak polis begitu juga Jabatan Peguam Negara dalam isu berkenaan.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa, saman sivil DoJ berkaitan 1MDB dipercayai didalangi empat individu dari negara ini dengan niat memburukkan imej Malaysia.

Mereka adalah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Pengarah Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel; peguam, Matthias Chang; dan Pengasas dan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Individu terbabit dipercayai berkonspirasi dengan pihak tertentu dari DoJ bagi menjatuhkan kredibiliti negara dan pemimpin kerajaan, khususnya Najib, selain cuba menggugat ekonomi negara.

JMM juga telah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu yang disifatkannya sebagai pengkhianatan besar pada negara.

Apa sebenarnya yang cuba dilakukan individu berkenaan?

Mereka dipercayai merancang dengan DoJ dan pihak media di AS untuk menghebahkan semula dakwaan berunsur fitnah terhadap 1MDB.

Tindakan itu juga bagi memburukkan negara, khususnya pada saat pilihan raya umum yang semakin hampir.

Jika dakwaan itu benar, adakah kerajaan khususnya pihak berkuasa negara ini perlu berdiam diri?

Pihak berkuasa sewajarnya menyiasat individu berkenaan kerana ia melibatkan campur tangan asing terhadap negara.

Ia samalah seperti tindakan menjual kedaulatan negara kepada negara luar.

Semestinya, memang tiada maaf kepada mereka yang memburukkan nama negara di mata dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here