Sumber foto: sayangsabah.com

Rundingan sedang dijalankan dengan kumpulan penculik lima kru warganegara Malaysia yang hilang selepas bot tunda mereka ditemui terdampar di beting pasir di perairan Dent Haven berhampiran Tambisan di Lahad Datu pada Isnin lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed . Sumber foto: TMI

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak berkuasa Malaysia tahu siapa yang terlibat dan rundingan sedang dijalankan dengan mereka bagi membebaskan lima orang yang terbabit.

“Sekarang ini saya meminta ahli keluarga mangsa untuk mendiamkan diri dan tidak mendedahkan apa-apa hasil komunikasi antara pihak berkuasa dengan penculik.

“Kita tidak mahu maklumat itu dijadikan penggalak kepada kumpulan penculik untuk terus melakukan aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pingat Kedaulatan Negara kepada 316 anggota Jabatan Penjara Sabah di sini hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun (tengah) ketika sidang media berhubung kes culik lima kru kapal tunda warga Malaysia di IPD Lahad Datu. Sumber foto: BHOnline

Beliau diminta mengulas perkembangan terbaharu kehilangan lima kru selepas bot tunda yang mereka naiki ditemui terdampar di perairan Dent Haven dan dipercayai mereka menjadi mangsa kumpulan penculik dari Selatan Filipina. Empat orang daripada lima kru itu ialah dari Tawau dan seorang dari Felda Jengka, Pahang.

Ditanya sama ada perlu penyediaan tambahan segera aset dan anggota di perairan negeri ini berikutan insiden terbaharu itu, Nur Jazlan berkata, ianya merupakan antara tindakan yang diambil kerajaan tetapi pemantauan keselamatan di kawasan perairan Sabah yang luas bukan mudah.

Katanya, apa yang penting adalah kerjasama daripada pihak pengusaha aktiviti komersial yang menggunakan perairan timur negeri ini berhampiran sempadan dengan negara jiran.

Menurutnya, mereka perlu memaklumkan pergerakan kapal atau bot mereka kepada pasukan keselamatan dan tidak menggunakan laluan perairan terdapat bahaya risiko diculik.

“Tidak mungkin pasukan keselamatan boleh mengawasi semua aktiviti mereka yang menjalankan kegiatan komersial dan menggunakan laluan kawasan perairan berhampiran dengan sempadan negara jiran,” kata.

LEAVE A REPLY