APMM

KUALA TERENGGANU, 9 Nov — Cubaan sekumpulan nelayan Vietnam untuk melepaskan diri dengan menyogok pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur tidak berhasil, malah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata nelayan tersebut cuba menawarkan RM3,000 dalam operasi khas APMM ‘Ganding Timur 01/2016’ dan kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam operasi khas selama empat hari bermula Isnin lepas, APMM menahan dua bot nelayan Vietnam dan sebuah bot tempatan dengan nilai rampasan lebih RM3 juta kira-kira 101 hingga 103 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu semalam. Tangkapan dilakukan antara 12.30 tengah hari hingga 6 petang,” katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Katanya bot nelayan asing itu melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa permit selain turut didapati melakukan aktiviti tunda ganding dan kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah.

Beliau berkata sebanyak 25 kru warga asing berumur dalam lingkungan 16 hingga 56 tahun daripada ketiga-tiga bot itu ditahan dan dirujuk kepada SPRM, Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen untuk tindakan.

Operasi khas itu meliputi perairan dari Tanjung Gemuk di Pahang sehingga ke Tok Bali di Kelantan susulan aduan diterima APMM mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing dan aktiviti tunda ganding serta kewujudan bot klon yang beroperasi di laut, katanya.

Beliau berkata sebanyak 150 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi itu melibatkan tiga kapal APMM dari Pahang, Terengganu dan Kelantan serta pesawat daripada ibu pejabat APMM.

Mamu Said berkata kesalahan dilakukan bot tempatan itu ialah melakukan ubah suai terhadap tangki minyak dan disiasat bagi kemungkinan menjual diesel bersubsidi kepada bot asing di tengah laut.

Ketika ditanya terdapat kemungkinan berlaku aktiviti penyeludupan minyak masak melalui jalan laut, beliau berkata setakat ini APMM belum pernah melakukan tangkapan membabitkan penyeludupan minyak masak.

“Penyeludupan minyak diesel memang ada berlaku, APMM pernah menahan bot dengan minimun 300 liter diesel tambahan dan hampir 1,000 liter minyak di atas bot yang diisi dalam 20 buah tong pada tahun ini (setakat ini),” katanya.

Katanya APMM Wilayah Timur memeriksa sebanyak 18 kapal sepanjang operasi ‘Ganding Timur 01/2016’.

LEAVE A REPLY