Thursday, December 8, 2016
Cristiano Ronaldo Calon Terbaik Julang Ballon d’Or 2016

Cristiano Ronaldo Calon Terbaik Julang Ballon d’Or 2016

87
0
Cristiano Ronaldo
Foto Daily Mail

MADRID : Cristiano Ronaldo percaya dia telah melakukan segala-galanya untuk memenangi anugerah Ballon d’Or 2016.

Pemain berusia 31 tahun itu merupakan pilihan untuk dinobat sebagai pemain terbaik di dunia selepas mempamerkan aksi yang mantap sepanjang 12 bulan bersama kelab dan skuad kebangsaan.

Ronaldo meledak 51 gol dalam 48 perlawanan dalam semua kejohanan bersama Real Madrid musim lalu, termasuk 16 gol dalam 12 penampilan aksi Liga Juara-Juara (UCL), sekaligus menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane menjulang trofi UCL buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Penyerang itu kemudian mengetuai skuad Portugal untuk melakar sejarah memenangi kejohanan utama buat pertama kali di Euro 2016. Ronaldo menjaringkan tiga gol sepanjang kejohanan, sebelum Eder menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan tuan rumah, Perancis 1-0 dalam perlawanan akhir.

Bermula musim 2016-17, Ronaldo diberikan tamparan hebat kerana gagal mempamerkan prestasi cemerlang, dengan jaringan hatriknya ketika menewaskan Atletico Madrid pada Sabtu menjawab segala kritikan serta cemuhan yang ditujukan kepadanya.

Kata Zidane, aksi Ronaldo dalam perlawanan itu bukan sahaja akan mengubah fikirannya, malah mereka yang mengendalikan anugerah tersebut.

Gol pertama kapten Portugal itu hadir menerusi sepakan percuma pada minit ke-22. Bola rembatannya terkena rakan se­pasukan, Raphael Varane sebelum melantun ke gawang untuk mengelirukan penjaga gol, Jan Oblak.

Dia kemudian menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-71, sebelum melengkapkan hatrik enam minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang Gareth Bale.

Ini adalah hatrik ke-39 Ronaldo sepanjang bersama Real dan kelibatnya itu cukup untuk kembali menghantui Atletico yang genap lima bulan dikecewakan Real dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

“Saya tidak ragu-ragu tentang Ronaldo.Tiga gol tersebut bukan sahaja mengubah fikiran saya tetapi juga orang lain.

“Sudah tentu prestasinya sepanjang musim lalu tidak perlu diperdebatkan lagi. Dia berada selangkah di depan pemain lain. Ditambah dengan tiga gol dalam perlawanan sepenting ini telah membuktikannya. Saya pasti Ballon d’Or akan menjadi miliknya,” kata Zidane.

Kemenangan Real itu membolehkan mereka kekal sebagai pendahulu La Liga dengan empat mata di depan Barcelona yang hanya mampu seri 0-0 dengan Malaga, biar­pun lawan menamatkan sai­ngan dengan sembilan pemain.

Real tidak pernah kalah dalam 29 perlawanan pada semua pertandingan sejak April lalu walaupun ketika ini Zidane berdepan masalah kecederaan pemain utamanya

Sementara itu, bekas pemain Manchester United itu turut berasakan dia telah melakukan segala-galanya untuk memenangi gelaran pemain terbaik dunia selepas mengharungi musim terbaik sepanjang kariernya.

“Saya telah memberikan yang terbaik buat musim ini,” kata Ronaldo kepada Telefoot.

“Kami menang Liga Juara-Juara, saya memenangi Euros bersama Portugal. Undian tidak bergantung kepada saya dan saya tidak mahu terlalu taksub dengannya.

“Tetapi jika anda tanya saya jika saya mahu memenangi Ballon d’Or, saya akan berkata ya. Ini merupakan tahun yang menakjubkan bagi saya, tanpa sebarang keraguan, ia merupakan musim yang terbaik dalam kerjaya saya.

Pemenang, yang akan dipilih oleh panel wartawan dari seluruh dunia, akan diumumkan pada 13 Disember nanti.

LEAVE A REPLY