chris pine
Cover image via Harian Metro

Pelakon Chris Pine enggan mengikuti program diet yang diamalkan bintang Marvel, Chris Hemsworth dan Chris Evans bagi menjayakan watak Kapten Steve Trevor dalam filem Wonder Woman.

Pine yang terkenal menerusi filem bersiri Star Trek berasakan program diet itu kurang sesuai baginya dan melantik jurulatih kecergasan peribadi, Mark Wildman untuk membantu membentuk badannya.

“Hemsworth dan Evans perlu mengambil 5,000 dan 7,000 kalori untuk watak masing-masing sebagai Thor dan Captain Amerika.

“Mereka makan sehingga 15 kali setiap hari dan saya berasakan diet sedemikian tidak sihat untuk jantung,” katanya.

Menurut pelakon kelahiran Amerika Syarikat berusia 35 tahun itu, dia menggunakan alat senaman yang ringkas seperti clubbell, kettlebell, dumbel dan batang besi bagi membina otot.

“Sebelum ini, saya aktif angkat berat namun latihan kecergasan yang disarankan Wildman buat badan rasa lebih segar.

“Malah, senaman ini turut mengubah cara saya berjalan. Sebenarnya saya ada masalah kurang keyakinan diri ketika remaja dan ‘kaku’ ketika berjalan kerana itu saya selalu diejek rakan-rakan,” katanya.

Dengan imej barunya, Pine tiada perancangan mencuba nasib dalam dunia peragaan.

“Dunia peragaan sememangnya mempesonakan namun saya tidak berminat menceburi bidang ini.

“Selalunya, masyarakat cenderung menilai saiz badan seseorang sama ada gemuk atau kurus kering. Saya tidak boleh menghadapi situasi itu,” katanya.

Menurutnya, berlakon lebih mudah daripada peragaan kerana watak serta dialog sudah ditetapkan.

Filem Wonder Women arahan Patty Jenkins turut menampilkan pelakon jelita, Gal Gadot sebagai adiwira Diana Prince dan dijangka menjengah pawagam pada Jun tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here