Terbuka Indonesia

JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tewas mengejut seawal pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2017 di Jakarta semalam.

Chong Wei yang juga pemain pilihan pertama kejohanan tunduk kepada wakil India, H.S. Prannoy menerusi straight set 21-10, 21-18 dalam tempoh 40 minit, sekali gus menyaksikan impiannya untuk mempertahankan gelaran yang diraih pada tahun lalu musnah.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Chong Wei yang juga pemain No. 3 dunia dilihat kurang bertenaga untuk menjinakkan corak permainan pantas Prannoy sehingga menyebabkannya ketinggalan jauh pada set pertama perlawanan.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, Chong Wei beraksi dengan perlahan sehingga memberi peluang kepada pemain No. 25 dunia itu mendominasi set pertama dan kedua dengan mudah.

“Kita harus akui Prannoy bermain dengan cemerlang hari ini (semalam). Chong Wei pula beraksi perlahan sehingga menyebabkan pihak lawan mudah mengawal aksi dalam gelanggang,

“Apabila kelajuan dan corak permainan tidak ada, maka kesempatan untuk melancarkan serangan itu menjadi minimum. Prannoy pula dilihat agresif untuk melancarkan serangan bertali arus,” katanya.

Sebagai rekod, perlawanan yang berlangsung itu adalah pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pemain. Sebelum ini Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Prannoy masing-masing pada Kejohanan Terbuka Denmark 2016 dan Terbuka India 2013.

Tahun lalu, Chong Wei menjadi pemain ketiga dan pertama bukan dari Indonesia yang dinobatkan sebagai juara sebanyak enam kali pada saingan Terbuka Indonesia selepas terdahulu dia muncul juara pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016.

Berita tentang kemenangan Prannoy ke atas Chong Wei menjadi topik hangat di media dalam talian di India seperti News World India dan The Indian Express.

Selain Chong Wei, dua bintang China iaitu Chen Long dan Lin Dan turut beraksi pada kejohanan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here