Chapecoense

LA UNION (Colombia): Bola sepak dunia berkabung hari ini selepas tragedi pesawat terhempas di pergunungan Colombia semalam yang turut membawa satu pasukan bola sepak Chapecoense dari Brazil  dengan mengorbankan 71 orang namun enam terselamat.

Bangkit baru-baru ini selepas kurang dikenali, pasukan berkenaan sedang dalam penerbangan untuk menyertai aksi final merebut Piala Copa Sudamericana, pertandingan peringkat kelab kedua terbesar di benua Amerika Selatan.

“Kesakitan ini amat terasa. Kita baru saja mahu berjaya, saya tidak katakan kita teratas namun ke arah mencipta nama di peringkat kebangsaan, tragedi seperti ini pula menimpa,” kata naib presiden kelab itu, Ivan Tozzo memberitahu stesen Globo SportTV.

“Ia amat sukar, ia tragedi yang besar buat kami,” katanya.

Pihak berkuasa penerbangan awam Colombia pada awalnya berkata, seramai 75 terbunuh namun selepas itu mengesahkan empat dalam senarai penumpang sebenarnya tidak memasuki pesawat iaitu seorang pegawai kelab bola sepak berkenaan, seorang wartawan, Datuk Bandar kelab berkenaan berasal dan seorang ahli majlis perbandaran.

Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menyifatkan nahas berkenaan sebagai ‘tragedi yang menyayat hati’ manakala Presiden Brazil, Michel Temer mengisytiharkan tiga hari tempoh berkabung.

Mereka yang terbunuh termasuk 20 wartawan Brazil yang menyertai penerbangan itu untuk membuat liputan perlawanan final berkenaan.

Pesawat sewaan berkenaan yang diterbangkan oleh syarikat Bolovia, LAMIA, berlepas dari Santa Cruz, Bolovia sebelum mengumumkan kecemasan kira-kira jam 10 malam waktu tempatan.

Ia dilaporkan akibat kerosakan elektrik dan terhempas sebaik menghampiri bandar Medellin, kata pegawai penerbangan.

Pesawat yang sama dilaporkan digunakan dua minggu lalu untuk membawa skuad kebangsaan Argentina dengan Messi berada di dalamnya untuk ke San Juan, bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Sementara itu, finalis Copa Sudamericana, Atletico Nacional, meminta Persatuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) mempertimbangkan memberi gelaran juara kepada pasukan Chapecoense.

Nahas ini membuatkan Atletico Nacional bersimpati dan dilaporkan ikhlas mahu memberikan gelaran juara Copa Sudamericana untuk Chapecoense.

“Kami ingin mengumumkan bahawa Atletico Nacional telah memaklumkan kepada Conmebol untuk memberikan gelaran Copa Sudamericana kepada Chapecoense sebagai bentuk penghormatan dan penghargaan kepada korban kecelakaan yang membuatkan kita semua berduka. Chapecoense juara Copa Sudamericana 2016,” demikian kenyataan yang ditulis Atletico Nacional di laman web rasmi kelab.

“Langkah ini hampir sama dengan apa yang berlaku pada 1949, ketika para pemain Torino maut dalam kecelakaan pesawat yang mengorbankan 31 penumpang.

“Pada ketika itu, pasukan lain dalam Serie A setuju untuk memberikan ‘Scudetto’ kepada Torino sebagai bentuk penghargaan.

“Pengarah dan pemain dari Atletico Nacional juga telah sebulat suara menyatakan keinginan mereka. Chapecoense akan dinobatkan sebagai juara, jika tidak malam esok, dalam tempoh beberapa hari lagi.”

LEAVE A REPLY