Sumber imej: FMT

Bursa Malaysia dibuka lebih rendah berikutan prestasi lemah di Wall Street malam tadi. Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada 3.25 mata lebih rendah pada 1,654.29 selepas dibuka 1.41 mata lebih rendah pada 1,656.13.

Prestasi Pasaran Saham Lemah Di Wall Street Malam Tadi. Sumber imej: citywire.co.uk

Pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 137 berbanding 50 manakala 145 kaunter tidak berubah, 1,369 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung. Perolehan berada pada 47.27 juta saham bernilai RM19.94 juta.

Peniaga berkata, penurunan semalaman harga minyak berikutan kebimbangan terhadap lambakan berterusan bekalan global serta ringgit lebih lemah turut menjejaskan sentimen pelabur.

Penanda aras minyak mentah Brent ditutup 97 cents, atau 2.96 peratus pada AS$46.20 satu tong manakala minyak mentah AS jatuh AS$1, atau 2.19 peratus pada AS$44.75 satu tong.

“Selepas berdepan tekanan jualan yang kuat menghampiri halangan 1,676 pada 19 hingga 20 Julai lalu, peserta pasaran yang mempunyai pegangan saham membuat keputusan untuk mengubah strategi mereka dengan menjual berbanding mengekalkan pegangan masing-masing.

“Aktiviti jualan ini mewujudkan ketidakseimbangan dalam pasaran, mengubah hubungan bekalan dan permintaan serta menyebabkan pergerakan yang mengakibatkan pasaran merudum,” menurut Alliance DBS Research dalam satu nota. Susulan penurunan semalam yang disebabkan tekanan jualan, FBMKLCI dijangka diniagakan di bawah 1,657.54 hari ini.

Indeks FBM Emas susut 23.51 mata kepada 11,574.04, Indeks FBMT 100 jatuh 24.96 mata kepada 11,270.68 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 21.40 mata kepada 12,168.89. FBM 70 susut 33.58 mata kepada 13,132.77, namun FBM Ace berada 1.58 mata lebih tinggi pada 5,402.11.

LEAVE A REPLY