buntat

DIKENALI sebagai Buntat menerusi drama rantaian 7 Hari Mencintaiku yang pernah menjadi fenomena awal tahun ini, kehadiran adik Muhammad Arif Abdullah ke daerah lakonan tanah air semakin mendapat perhatian ramai.

Biarpun menghidap disleksia iaitu sejenis masalah gangguan pembelajaran, namun bakat lakonan yang dimiliki remaja berusia 13 tahun itu bukan calang-calang.

Mampu menghafal dialog dengan cepat dan menjiwai watak dengan berkesan, selepas popular dengan watak Buntat, Arif kini bakal tampil dengan filem sulung berjudul Jibam yang bakal ditayangkan sekitar bulan September depan.

Ditemui semasa majlis memorandum persefahaman antara produk kecantikan jenama Cantik Dara Sdn. Bhd. bersama rumah produksi penerbitan filem Jibam, Spektra Selasih Sdn. Bhd. Ariff teruja bercerita tentang perubahan hidup yang dialaminya sekarang.

Sebagai pelakon baharu, boleh kongsikan pengalaman Arif melakonkan watak sebagai Jibam yang merupakan watak utama dalam filem berkenaan?

ARIF: Sebenarnya filem Jibam merupakan pengalaman lakonan pertama saya. Drama 7 Hari Mencintaiku pula merupakan pengalaman lakonan saya yang kedua. Memang sukar hendak membawakan watak Jibam terutama babak yang melibatkan saya didera dalam filem itu. Namun, dengan bantuan pengarah dan kru produksi, saya berjaya melakonkannya.

Boleh kongsikan bagaimana bakat anda sebagai pelakon mula dicungkil?

Pada awalnya, saya juga tidak tahu bahawa saya boleh berlakon kerana saya tidak belajar tentang lakonan di sekolah.

Pada suatu hari, seorang kartunis bernama Ujang sedang mencari seorang kanak-kanak lelaki untuk menjayakan watak budak lembam. Apabila mengetahui tentang saya, dia bersama pengarah filem Jibam iaitu Che Mie datang berjumpa dengan ayah.

Mereka berbincang tentang hasrat mengambil saya berlakon. Selepas ayah bersetuju, saya dibawa ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kelas lakonan selama 10 hari dan terus memulakan penggambaran Jibam. Penggambaran filem itu dijalankan sekitar Februari tahun lalu.

Bagaimana kehidupan anda sekarang selepas dikenali sebagai pelakon?

Tidak banyak yang berubah sebenarnya. Kehidupan saya masih sama, belajar di sekolah seperti biasa tetapi apabila keluar bersiar-siar saya sering disapa peminat untuk bergambar bersama.

Bagaimana pula dengan tawaran lakonan sekarang?

Tawaran lakonan memang kurang.

Sebelum ini saya banyak ditemani oleh ibu, Rosdiana Mastura Abdullah apabila hendak ke lokasi penggambaran kerana ayah sibuk menguruskan kedai makan di Kubang Pasu, Kedah. Memandangkan ibu saya baru bersalin jadi lakonan terpaksa dikurangkan. Tambahan pula saya masih bersekolah dan boleh berlakon ketika waktu cuti sekolah sahaja.

Jika diberikan pilihan, watak yang bagaimana yang hendak anda jayakan?

Saya tidak kisah andai diberikan sebarang watak. Saya masih baru dalam lakonan, jadi banyak watak yang perlu saya cuba dan pelajari. Andai diberi watak budak jahat pun pasti saya akan terima.

Dikenali sebagai Buntat selepas popular menerusi 7 Hari Mencintaiku, antara nama sebenar (Arif) dan nama karakter dalam drama berkenaan, panggilan bagaimana yang anda selesa?

Mana-mana pun boleh kerana saya tidak kisah. Di sekolah juga ada rakan yang memanggil saya dengan nama Arif dan ada juga memanggil saya Buntat. Mungkin selepas filem Jibam keluar, orang akan panggil saya Jibam pula.

Baca lagi: 7 Hari Mencintaiku Dominasi Malam DFKL 2017

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here