Brazil
Gandingan Tiga Serangkai - Countinho, Neymar dan Gabriel Jesus

BELO HORIZTONE, BRAZIL –¬†Argentina terus dirundung malang apabila gagal mengutip tiga mata dalam percubaan keempat saingan kelayakan Piala Dunia selepas tewas 3-0 berdepan Brazil.

Neymar mencuri tumpuan apabila berjaya melakar gol ke-50 dalam kariernya bersama Brazil di samping dibantu oleh jaringan Philipe Coutinho dan Paulinho.

Kemenangan Brazil terus memberi tekanan terhadap Argentina yang masih gagal memburu tiga mata selepas empat perlawanan setakat ini.

Meskipun turun dengan kelibat pemain bintang, Lionel Messi, skuad kendalian Edgardo Bauza gagal menghadirkan ancaman terhadap kubu Brazil.

Bintang Liverpool, Coutinho, meneruskan prestasi terbaiknya dengan meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-25 sebelum Neymar — yang melakar gol ke-50 buat Brazil — mencatat nama selaku penjaring sebelum berakhir babak pertama.

Paulinho mengesahkan kemenangan selesa buat pasukan tuan rumah pada minit ke-60.

Brazil kembali ke Beli Horizonte buat kali pertamanya sejak dimalukan Jerman 7-1 ketika di peringkat separuh akhir Piala Dunia dua tahun lalu.

Jelas, gandingan tiga serangkai — Neymar, Coutinho dan Gabriel Jesus — membuahkan hasil apabila sering mengucar-kacirkan pertahanan Argentina yang diketuai bek tengah Manchester City, Nicolas Otamendi.

Dalam satu lagi perlawanan, Uruguay meneruskan rentak kecemerlangan apabila mengekalkan rekod bersih selepas berjaya menundukkan Ecuador 2-1.

Dua gol dalam separuh masa pertama oleh Sebastian Coates dan Diego Rolan sudah cukup memastikan La Celeste mengutip tiga di Montevideo.

Coates meledak gol seawal minit ke-12 hasil sepakan penjuru sebelum Ecuador menyamakan kedudukan menerusi Felipe Caicedo.

Bagaimanapun, Uruguay kembali di depan hasil sumbangan Rolan sebelum berakhirnya babak pertama.

Brazil kini mendahului saingan kelayakan Amerika Selatan dengan 24 mata, diekori rapat Uruguay di tempat kedua sementara Argentina di kedudukan keenam.

LEAVE A REPLY