boboiboy
Cover image via Kosmo

SIRI animasi popular tempatan, Boboiboy kini berwajah baharu di samping plot penceritaan yang lebih menarik, sekali gus menembusi pasaran antarabangsa.

Inisiatif tersebut dilakukan oleh Animonsta Studios Sdn. Bhd. khusus untuk siri baharu kartun berkenaan berjudul Boboiboy Galaxy.

Mula bersiaran pada 25 November (hari ini) pada setiap Jumaat pukul 5 petang, Boboiboy Galaxy merupakan siri pengembaraan baharu watak adi wira Boboiboy bersama rakan-rakan demi menewaskan kuasa jahat.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Abdul Razak menjelaskan, Boboiboy Galaxy merupakan konsep baharu animasi tersebut dan bukan kesinambungan bagi siri terdahulu.

“Kami melakukan beberapa penambahbaikan pada bahagian fizikal watak dan jalan cerita demi memberi sentuhan kelainan serta memaparkan lebih pengembaraan.

“Siri baharu berkenaan turut memperlihatkan babak pertarungan Boboiboy menewaskan musuh dari planet-planet berbeza berbanding plot penceritaan terdahulu yang banyak memberi fokus di bumi sahaja,” jelasnya pada majlis pelancaran Boboiboy Galaxy baru-baru ini.

Mengulas lanjut, imej baharu karakter Boboiboy dan rakan-rakan dilakukan demi memenuhi kriteria pasaran antarabangsa setelah siri animasi tersebut menembusi pasaran beberapa buah negara luar.

“Bagi kelihatan lebih realistik, watak Boboiboy diubah suai agar kelihatan lebih tinggi dan bersesuaian dengan usia kanak-kanak 10 tahun.

“Berdasarkan sambutan yang diterima, kami menyasarkan memasarkan siri Boboiboy Galaxy untuk pasaran luar negara sekitar Ogos tahun depan,” jelas Nizam optimis.

Moral

Selain melakukan perubahan pada fizikal watak dan penambahan beberapa karakter baharu, Nizam turut menitikberatkan soal nilai murni yang dapat diterapkan dalam kalangan penonton.

Perkara itu tidak hanya melibatkan dialog, malah tingkah laku kesemua watak memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej positif yang secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah kanak-kanak.

“Meskipun melibatkan potongan dialog seperti ‘tak guna’, kami tetap mengambil kira tentang hal tersebut kerana bimbang ia akan memberi pengaruh buruk kepada penonton.

“Tambahan, meskipun ia sekadar animasi tetapi kami berusaha untuk mengelakkan daripada memaparkan babak bersentuhan antara watak lelaki dan perempuan,” kata Nizam mengenai transisi animasi Boboiboy Galaxy.

Bersiaran sebanyak 20 episod, Boboiboy Galaxy mengisahkan pengembaraan Boboiboy, Gopal, Yaya, Fang dan Ying berusaha menyelamatkan pelbagai jenis Power Sphera di ruang galaksi.

Setiap Power Sphera mampu memberikan kuasa berbeza, sekali gus melindunginya daripada jatuh ke tangan lanun angkasa yang mempunyai tujuan jahat.

Baca lagi: Thiah Disebalik Suara Boboiboy

LEAVE A REPLY