BN
Cover image via Suara Pembaharuan

Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti politik yang mampu bertahan dalam demokrasi zaman moden, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tiada parti lain yang boleh menyaingi prestasi BN selama ini yang bermula sebagai Parti Perikatan dan kemudian menukar namanya seperti yang dikenali hari ini.

“Walaupun kami telah merasai cabaran dan rintangan sejak hari penubuhan kami, namun kami sentiasa kekal berdaya tahan.

“Daya tahan itu kerana komited kepada keseluruhan konsep perkongsian kuasa di antara pelbagai parti komponen dalam BN, malah sehingga parti-parti kecil di dalam BN mempunyai hak yang sama dengan part-parti yang besar,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) ke-27 di sini hari ini.

Najib berkata sebagai pengerusi BN, beliau komited dalam memastikan konsep perkongsian kuasa itu terus menjadi prinsip panduan dalam parti gabungan itu.

Najib juga berkata BN akan terus bertindak berdasarkan prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan, di mana parti itu akan mengelak daripada bertindak keterlaluan sehingga perlu untuk memaksa rakyat menerima parti, tidak juga terlalu liberal sehingga hilang nilai-nilai moral.

“Kita mesti berada di laluan pertengahan dan dengan berada di laluan pertengahan tidak bermakna kita berpegang kepada keadaan yang tidak berapa baik. Dengan bersederhana bermakna berusaha untuk mencapai kecemerlangan,” jelas beliau.

Dalam mempertimbangkan integrasi sebagai satu cara hidup rakyat Malaysia yang ditetapkan pemimpin negara sebelum ini, Najib menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama apabila seluruh negara secara serentak bersorak untuk wira badminton negara Datuk Lee Chong Wei berentap bagi mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik baru-baru ini.

“Kita perlu mewujudkan lebih banyak detik-detik perpaduan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang didasarkan kepada rasa perpaduan dan patriotisme yang kukuh.

“Sewaktu kita bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara, kita (akan) mendapat pengiktirafan, kita mendapat penghormatan kerana kita adalah sebuah negara yang berjaya,” katanya.

Sementara itu, Najib mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan cubaan pembangkang untuk mengelirukan mereka mengenai usaha kerajaan BN bagi meningkatkan ekonomi negara seperti membawa masuk pelaburan asing.

“Mereka (pembangkang) tidak peduli tentang fakta tapi lebih kepada bagaimana untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Dan sekarang, seorang lelaki tua 92 tahun membuat pusingan U. Dia menterbalikkan segala-galanya yang dikatakannya pada masa lepas untuk mengelirukan rakyat,” kata Najib sambil menambah bahawa usaha pembangkang merupakan satu tindakan perang saraf politik.

Atas sebab itu, Najib berkata adalah penting bagi BN untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai permainan politik pembangkang dan meyakinkan rakyat bahawa kerajaan berusaha untuk membawa kestabilan politik kepada negara.

“Sebuah negara tidak boleh maju melainkan kita ada kestabilan politik dan ia (kestabilan politik) merupakan tulang belakang kepada kejayaan kita pada masa lalu dan masa depan.

“Jika tidak ada kestabilan politik, anda boleh lupakan impian anda, anda boleh lupakan tentang masa depan,” katanya.

Najib juga berkata BN telah berkembang menjadi sebuah institusi politik yang telah terbukti dapat menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

“Mereka (pembangkang) boleh kata apa yang mereka suka, tetapi kita (BN) boleh menunaikan janji.

“Kita meati bekerja untuk rakyat kerana akhirnya, rakyat akan menyokong kita,” katanya.

Najib berkata parti komponen BN tidak harus kecewa dengan taktik politik pembangkang untuk mengoyangkan keyakinan rakyat terhadap BN, tetapi sebaliknya, pemimpin BN perlu menjadi pemimpin bertanggungjawab dan kekal fokus mengenai bagaimana untuk membawa perubahan demi manfaat rakyat.

Artikel berkaitan: BN Selangor Jangan Bergantung Pada Faktor Luaran

LEAVE A REPLY