Sumber imej: thestar

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 telah mendesak dan mempersoalkan tujuan serta mahu penjelasan secara terbuka dikeluarkan oleh pihak DAP kerana bercadang ingin mengadakan pilihan raya kilat di Pulau Pinang.

WAN AZIZAH TIDAK YAKIN DENGAN TUJUAN DAP

PKR  masih belum diyakinkan tujuan atau matlamat bagi mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan biro politik PKR di ibu
pejabat parti itu malam tadi, Dr Wan Azizah berkata parti itu bagaimanapun
tidak menutup pintu perbincangan.

“Kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

“Namun, pimpinan PKR bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini,” katanya.

BERSIH 2.0 MAHU PENJELASAN SECARA TERBUKA

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 mendesak DAP supaya menjelaskan secara terbuka mengapa pilihan raya kilat perlu diadakan di Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menegaskan bukan sahaja pilihan raya menggunakan wang rakyat, bahkan mengambil masa dan menghampakan pengundi yang tidak tahu matlamat pilihan raya kilat diadakan.

PILIHAN RAYA KILAT, MENGEJUT

DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah satu daripada pilihan kepimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Ketua Menteri, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Semalam, media melaporkan Lim bersama rombongan pemimpin DAP akan hadir
pada mesyuarat itu bagi memberi taklimat mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya mengejut, namun mesyuarat tersebut berlangsung tanpa kehadiran Lim.

Lim, 56, baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan mesyuarat mengenai pilihan raya tergempar itu diadakan dalam masa terdekat.

“Kami telah bincang dalam mesyuarat tadi. Memang ada cadangan untuk pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan daripada kerajaan negeri,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor dan Ahli Parlimen Gombak.

Kenyataan menyusuli khabar angin pilihan raya kilat akan diadakan di Pulau Pinang, selepas The Star hari ini melaporkan perwakilan enam orang daripada DAP termasuk pimpinan kanan parti bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membincangkan perkara itu.

Ditemui pemberita, Wan Azizah mengesahkan mesyuarat biro politik PKR malam ini akan membincangkan pilihan raya kilat bersama pimpinan PKR Pulau Pinang.

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY