PAS

BIARPUN telah dicanangkan di seluruh dunia sejak tiba bulan lalu, namun hanya 15,500 sahaja peserta yang disahkan menyertai himpunan BERSIH 5.0 di Kuala Lumpur pada 19 November.

Polis Kuala Lumpur mengesahkan angka rasmi itu adalah daripada hasil pemantauan rapi dengan mengambil kira waktu puncak demonstrasi berlangsung iaitu pukul 2.30 petang susulan kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain Mahathir, kroni PPBM lain yang hadir adalah Presiden PPBM yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir turut kelihatan bersama.

Siapa yang mendominasi BERSIH 5.0? Seperti BERSIH 4 tahun lalu, BERSIH 5.0 terus didominasi kira-kira 90 peratus penyokong Cina dari DAP dan PKR.

Bakinya adalah peserta Melayu dari PKR, PAN dan penyokong Mahathir serta segelintir Orang Asli yang diimport khas dari Gua Musang, Kelantan.

Terbukti ketiadaan Pas yang merupakan penggerak terbesar BERSIH sebelum ini begitu mempengaruhi kehadiran peserta dalam himpunan BERSIH 5.0.

BERSIH
Foto oleh FMT

Selama ini, Pas memainkan peranan besar dalam menyumbang kehadiran peserta Bersih. Keengganan Pas sendiri untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan membuktikan selama ini kekuatan parti itu dalam menjadi tulang belakang gabungan pembangkang.

Persoalan yang cukup besar, apa sumbangan Mahathir dan PPBM dalam himpunan BERSIH 5.0?

Ternyata Mahathir dan PPBM gagal. Sepatutnya, kehadiran dan penyebaran klip video Mahathir yang menyeru rakyat Malaysia menyertai BERSIH 5.0 mampu menarik rakyat terutama orang Melayu menyertainya namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Penyertaan Mahathir dan PPBM langsung tidak memberikan impak kepada kehadiran peserta BERSIH 5.0. Pembangkang yang diketuai DAP pastinya kecewa kerana harapan melihat PPBM untuk menarik sokongan orang Melayu terhadap mereka serta BERSIH 5.0 gagal sama sekali.

Tindakan Mahathir dan kroninya menyertai BERSIH 5.0 menyebabkan jumlah peserta merosot kira-kira 97 peratus manakala orang Melayu enggan menyertainya kerana mereka sudah tahu agenda peribadi Pengerusi PPBM itu.

Ke mana menghilangnya kaum Cina yang sebelum ini ramai menyertai BERSIH 4?

Tentunya ribuan kaum Cina yang menghadiri BERSIH 4.0 sangat kesal apabila Mahathir terlibat dalam perhimpunan itu sekali gus mengakibatkan mereka memilih untuk tidak menyertai BERSIH 5.0.

Jelaslah BERSIH 5.0 yang disertai PPBM diterajui Mahathir buat kali pertama membuktikan tahap pengaruh parti baharu itu tidaklah sehebat mana dan sebenarnya amat lemah untuk menarik ramai peserta terutama orang Melayu.

tun-m11

Bayangkan perhimpunan yang dijadual bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir 6 petang itu seolah-olah menagih belas PPBM yang mengharapkan belas ihsan penyokong totok DAP yang majoritinya kaum Cina untuk hadir ke BERSIH 5.0.

Jangan dikira perbuatan mereka yang menyusahkan bukan sahaja warga kota malah merugikan golongan peniaga, itu sudah lama boleh dijangka.

Mahathir dan PPBM langsung tidak mendapat sokongan rakyat dan sebenarnya bukanlah memiliki ramai penyokong seperti PAS yang mampu menjayakan siri BERSIH 1, 2 dan 3.

Persoalan yang juga perlu diketahui oleh rakyat adalah mengapa BERSIH 5.0 sama seperti empat edisi BERSIH sebelum ini yang langsung tidak menepati matlamat asalnya iaitu bagi menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil?

BERSIH 5.0 terus menjadi platform pakatan pembangkang untuk melunaskan agenda politik mereka dan isu-isu yang dibangkitkan sama sekali tiada kaitan dengan pilihan raya.

Peserta himpunan itu terutama kaum Cina melaungkan pelbagai slogan anti kerajaan termasuklah membawa sepanduk menghina pemimpin negara. Ada juga peserta yang melanggar peraturan himpunan dengan membawa anak kecil.

Antara isu-isu yang dibangkitkan le­bih berkisar kepada perkara yang dipejuangkan oleh pembangkang termasuklah 1MDB, pembalakan di Kelantan, tuntutan untuk rakyat Sabah dan Sarawak serta beberapa isu lain yang tiada kaitan dengan pilihan raya.

Apakah gerakan yang dilakukan melalui perhimpunan haram tersebut semata-mata berkaitan pilihan raya atau bermotifkan politik?

Terdapat juga pandangan adakah perhimpunan berkenaan satu gerakan bagi menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan?

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya memastikan perhimpunan tersebut tidak mencetuskan kekacauan biarpun di beberapa lokasi berlaku provokasi antara penyokong baju kuning dan baju merah.

Foto oleh FMT
Foto oleh FMT

Penangkapan beberapa individu termasuk darpada Gerakan Baju Merah ketika perhimpunan berlangsung kerana cuba mela­kukan provokasi telah membuk­tikan pasukan keselamatan ter­sebut menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.

Ternyata BERSIH 5.0 menjadi perhimpunan yang hambar dan tidak mencapai sasaran kehadiran peserta seperti ditetapkan penganjur.

Penglibatan PPBM dan kehadiran Mahathir juga tidak membantu. Pembangkang akan tetap mencari rentak dah terus dengan strategi provokasi demj mengumpan simpati rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Semua sudah jelas, Bersih boleh menutup buku dan menyalahkan Mahathir yang mempercepatkan pengebumian parti-parti yang berselindung di sebalik perjuangan yang tidak pernah bersih sejak dari dahulu lagi.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY