merah
Foto oleh FMT

KEMUNCULAN kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai baju Merah dan baju Kuning atau BERSIH sebenarnya amat merugikan negara.

Dalam kelompok masyarakat berbilang kaum di negara ini, kemunculan dua kumpulan berkenaan menggambarkan hubungan etnik, khususnya Cina dan Melayu berada di tahap yang tidak baik.

Apa kesannya jika situasi ini berlaku? Sudah tentu ia boleh mencetuskan konflik yang lebih besar jika tidak diuruskan dengan baik.

Sedangkan, selama ini kita hidup aman damai tetapi kini mengapa berlaku cabar-mencabar antara kaum. Dalam hal ini, tiada sesiapa pun yang mendapat untung.

Adakah kita mahu peristiwa rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 berulang? Tragedi itu telah mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

629c40_a46bd21e203547f0aa4d68ddedbba51f-mv2

Bukan sahaja berlaku perbalahan antara kaum, malah tindakan sedemikian juga akan menjejaskan imej negara di mata dunia yang akan dilabel sebagai sebuah negara yang gagal menguruskan hubungan etnik.

Ambil contoh perhimpunan haram yang berlaku luar negara seperti di Thailand, Indonesia dan Timur Tengah yang jelas memperlihatkan impak negatif sangat besar terhadap kestabilan politik, perpaduan selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi di negara terbabit.

Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak luar yang mengambil kesempatan dan pastinya ia boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Ketahuilah wahai rakyat Malaysia, setiap rakyat di negara ini sebenarnya mempunyai hak untuk bebas bercakap bagi mengeluarkan buah fikiran, berhimpun secara aman dan berhak menubuhkan persatuan.

Perkara ini sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 10, Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Menubuh Persatuan.

Bagaimanapun, kebebasan bercakap dihadkan kepada kata-kata yang tidak menjadi fitnah, tidak menjadi hasutan dan tidak mencerca mahkamah atau yang melanggar hak keutamaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

20150830_bersih_feng_04_620_413_100

Rakyat juga berhak berhimpun secara aman tanpa bersenjata. Bagaimanapun, perhimpunan yang terdiri daripada 15 orang atau lebih adalah haram di sisi undang-undang jika maksudnya untuk menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan kerajaan atau pihak yang berkuasa.

Di samping itu juga, isu-isu sensitif tidak boleh dibangkitkan dalam perhimpunan dan pengucapan umum.

Rakyat negara ini juga berhak menubuhkan persatuan dengan syarat persatuan tersebut tidak mengugat kepentingan, keselamatan dan ketenteraman awam.

Jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 10, tidak melarang rakyat untuk mengadakan perhimpunan asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam dan menggugat keselamatan negara.

Saluran sudah tersedia. Gunakanlah saluran ini dengan baik demi keharmonian rakyat pelbagai kaum serta keamanan negara tercinta ini.

Biarpun berbeza pendirian politik, janganlah kita menggadaikan keharmonian dan keutuhan hubungan antara kaum yang terbina selama ini, demi mencapai matlamat politik sendiri dan penuh muslihat untuk kepentingan peribadi melalui jalan singkat sekali gus menghancurkan keharmonian kaum yang utuh dibina selama ini.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY