merah

TELUK INTAN – “Paku dulang paku serpih, mengata orang dia lagi lebih.” Itu jawapan yang diberikan Ketua Umno Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang mempersoalkan adakah Umno melahirkan gangster di kalangan Umno.

Menurut Mohd Azhar, rakyat sendiri tahu mengenai sejarah Bersih yang merosakkan negara dengan melakukan kacau-bilau melalui perhimpunan mereka.

“Mereka sendiri yang mencetuskan segalanya dan bukan kami, jadi saya ingin bertanya siapa sebenarnya yang melahirkan gangster?

“Kami hadir di sini adalah untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi negara dan memberitahu mereka supaya mengikut cara yang betul,” katanya ketika ditemui di Menara Condong, bersama hampir 500 peserta baju merah bagi menghalang konvoi Bersih 5 memasuki kawasan tersebut, semalam.

Tambahnya, Maria Chin dan kuncu-kuncunyalah yang melahirkan gangster dengan mengheret rakyat menggunakan politik jalanan.

“Sepatutnya mereka menggunakan platform yang betul melalui wakil rakyat, adun dan ahli parlimen untuk bersuara dan tidak menghampakan mandat yang diberikan rakyat dengan cara salah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, Bersih 5 di negeri ini gagal menghasut rakyat dengan menyeru rakyat untuk turun ke jalanan bersama mereka.

“Mereka menggunakan media sosial sebagai propaganda di mana kononnya konvoi yang bermula di Lumut dari minggu lalu dan hari ini (semalam) mendapat sambutan ramai sedangkan penyertaan mereka tidak sampai 50 orang.

“Contohnya hari ini, mereka sepatutnya turun di Menara Condong Teluk Intan pada jam 9 pagi, namun bayang mereka tidak juga muncul dan ia menunjukkan bahawa kami berjaya menggagalkan rancangan mereka,” katanya.

Tambahnya, peserta Bersih 5 tiada keberanian kali ini kerana mereka tidak mendapat sokongan kuat seperti Bersih 1 dan 2 yang disertai oleh Pas yang sekarang tidak bersama mereka lagi.

“Kami akan tetap sebat mereka di mana sahaja dan saya ucapkan syabas dan tahniah kepada peserta baju merah yang sama-sama turun dengan semangat cintakan keamanan,” katanya.

LEAVE A REPLY