BERSIH
Foto hadapan oleh FMT

KUALA LUMPUR: Selang beberapa jam Bersih 2.0 dan lawannya Baju Merah dijangka memulakan perhimpunan masing-masing, Putrajaya sekali lagi menyeru kedua-dua pihak membatalkan rancangan mereka, sambil memberi amaran akan melakukan apa sahaja memastikan keselamatan awam.

“Kami menyeru rakyat supaya fikir 2 kali sebelum menyokong mana-mana pihak atau menyertai demonstrasi yang hanya memenuhi agenda pemimpin mereka, tanpa keprihatinan terhadap rakyat,” seorang pegawai kanan mewakili kerajaan memberitahu FMT.

Kenyataan itu selepas polis menangkap seramai 14 orang sejak petang semalam, bermula dengan penangkapan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, dan diakhiri dengan penahanan pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos di sebuah hotel lewat malam tadi.

“Kerajaan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan kedua-dua peserta demonstrasi mencetuskan kekacauan dan keganasan di Kuala Lumpur dan seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata penangkapan yang dilakukan ke atas beberapa orang adalah bagi menghalang mereka daripada terus “menghasut orang ramai menyertai perhimpunan”.

“Kedua-dua pihak wajar membatalkan demonstrasi kerana ia tidak akan mencapai apa-apa selain daripada menganggu perniagaan di pusat bandar Kuala Lumpur dan menyebabkan kesesakan trafik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY