bersih

PUTRAJAYA: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hari ini berkata perhimpunan BERSIH 5 akan diadakan pada November tahun ini.

“Kami pasti akan mengadakan Bersih 5. Ianya pada November. Kami akan adakan sidang media pada 14 September,” katanya di Istana Kehakiman, hari ini.

Maria walaubagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perincian himpunan berkenaan dan menyatakan segala butiran berkaitan akan dimaklumkan dalam sidang media yang diadakan kelak.

“Butiran seperti tarikh, lokasi dan tujuan perhimpunan akan didedahkan pada 14 September ini pada sebuah sidang media,” katanya ketika menunggu satu kes mahkamah membabitkan kumpulan Bersih 2.0.

Menurut Maria, perhimpunan itu bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ‘Malaysian Official 1’ yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas aset didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB, pada Julai lalu.

Maria menyifatkan tunjuk perasaan yang akan diadakan kelak sebagai keperluandan bukan lagi satu pilihan kerana rakyat perlu membuat pendirian tegas terhadap apa yang dianggapnya sebagai “rasuah besar dan mengkhianati kepercayaan”.

Demonstrasi Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam ketika sambutan ambang kemerdekaan tahun lalu menyaksikan kehadiran mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah.

Demonstrasi berkenaan menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak.

Beberapa perhimpunan Bersih yang lain sebelum ini walau bagaimanapun gagal berakhir dengan baik dengan menyaksikan berlakunya pergelutan antara penunjuk perasaan dan anggota polis.

Dalam pada itu, penganjur gerakan himpunan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos turut memberi amaran akan bertindak balas dengan mengadakan perhimpunan jika penganjur Bersih 2.0 bertegas hendak mengadakan Bersih 5.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata PDRM tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan tersebut selagi penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman dan tidak menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Khalid dalam masa yang sama turut memberi lampu hijau kepada perhimpunan Baju Merah, dengan syarat penganjur terbabit mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here