JAMAL

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua Gerakan Baju Merah Datuk Jamal Yunos.

Petang semalam, Jamal dalam satu sidang media menuduh Bersih 2.0 diresapi pengganas, serta merancang untuk menawan lapangan terbang dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan.

“BERSIH 2.0 sedang mempertimbangkan semua tindakan undang-undang yang boleh dan akan diambil terhadap tuduhan jahat yang telah dibuat dan akan mengheret mereka yang mencipta dan menyebarkan fitnah ini ke muka pengadilan,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

bersih

Jamal mengadakan sidang media itu untuk mengumumkan kempen Merah V2, yang akan menurunkan ahli-ahli mereka ke enam lokasi konvoi jelajah negara Bersih yang akan bermula 1 Oktober depan, menuju acara kemuncak di ibu negara iaitu tunjuk perasaan Bersih 5 pada 19 November.

Jamal mendakwa sumber yang boleh dipercayai memaklumkan Bersih diresapi IS dan Daesh, mahu menawan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Putrajaya, dan mendapat khidmat nasihat daripada perunding Thailand dan Taiwan.

“BERSIH 2.0 tidak ada apa-apa kaitan dengan mana-mana kumpulan militan seperti yang di dakwa oleh Jamal Yunos. Malah, BERSIH 2.0 tidak punyai apa-apa cadangan untuk berhimpun di lapangan terbang,” tegas Bersih 2.0.

“Kami akan meneruskan konvoi mingguan kami dan himpunan 19 November seperti dirancang. Kami percaya dakwaan berniat jahat ini bertujuan untuk mewujudkan rasa takut dalam kalangan peserta aman konvoi dan himpunan.”

LEAVE A REPLY