BERSIH
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Tunjuk perasaan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November depan bagi menuntut reformasi institusi di negara ini.

Penganjurnya Bersih 2.0 juga mendesak penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Singkir Najib salah satu daripada tuntutan kami, tetapi kami mahu tegaskan kami tidak akan sokong mana-mana pemimpin yang tidak menyokong agenda reformasi,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dalam satu sidang media di Hotel Crystal Crown hari ini.

Turut hadir aktivis Hishammuddin Rais, pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk Ambiga Sreenevasan, dan jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof, antara lain.

Menurut Maria lagi, acara konvoi akan diadakan di seluruh negara sebelum tunjuk perasaan pada 1 Oktober ini.

Konvoi itu, katanya, akan menjelaskan mengapa orang ramai perlu meneruskan perjuangan menuntut perubahan, yang menurut Maria berlaku di negara ini pada kadar yang perlahan.

Maria sebelum ini berkata tunjuk perasaan itu bertujuan untuk mendesak kebertanggungjawaban dan tindakan diambil terhadap Malaysian Official 1 (MO1) susulan saman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Julai terhadap individu yang dikaitkan kepada 1Malaysia Development Berhad.

Himpunan tahun lalu itu turut membawa kepada tunjuk perasaan balas berbaur perkauman oleh Gerakan Baju Merah.

Saman DoJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion digelapkan daripada 1MDB. Ia menamakan Riza Aziz, iaitu anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Low Taek Jhow (Jho Low), dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here