Bersih
Image via FMT

KEHADIRAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa perhimpunan Bersih 4 pada 29 Ogos tahun lalu sebenarnya memualkan rakyat negara ini yang cintakan keamanan.

Bagaimana tidak, pemimpin negara yang satu masa dahulu begitu lantang menutup kemasukan anasir asing ke dalam hal ehwal negara seakan-akan lupa setiap janjinya untuk mempertahankan Malaysia.

Pada masa itu sudah ramai boleh meramalkan kerosakan yang akan dilakukan Dr Mahathir dan suntikan propaganda palsu untuk mewujudkan perasaan benci rakyat kepada pemimpin negara.

Negarawan itu kini sudah tidak segan silu lagi duduk semeja dengan pembangkang malah terang-terangan bermusuhan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas sekali tindakan susuk tubuh berusia lebih 90 tahun itu buktinya sudah hilang rasa patriotik dan cintakan negara.

Bersih 1MDB?

Oleh itu, apabila pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengumumkan mahu menganjurkan perhimpunan Bersih 5 untuk mendesak penyelesaian segera terhadap isu yang melibatkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat sudah tahu siapa di belakang rancangan itu.

Katalah apa sahaja, ia merupakan suntikan dendam Dr Mahathir yang mahu melihat negara huru-hara dan masyarakat berpecah belah.

Bagaimana Bersih 2.0 yang selama ini memperjuangkan ‘keadilan’ pilihan raya akhirnya berubah arah kepada perjuangan 1MDB yang tidak ada kena mengena dengan misinya.

Nampak permainan Dr Mahathir yang sengaja mahu membuat ulang tayang kehadirannya pada Bersih 4 tahun lepas tahun dan mengharapkan rakyat mengerumuninya seperti sebelum ini.

Tindakan Bersih 2.0 yang mahu menganjurkan perhimpunan Bersih 5 ini menampakkan bukti jelas mereka merupakan medium perjuangan kononnya membersihkan 1MDB yang digunakan Dr Mahathir untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Katalah apa sahaja alasan yang diberi Bersih 2.0 termasuk susulan pendedahan yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tentang dakwaan penyelewengan wang yang berlaku melibatkan syarikat tersebut, ia hanya gimik untuk memastikan semua hasrat buruk Dr Mahathir menjatuhkan Najib tercapai.

Aura Dr Mahathir?

Apakah Dr Mahathir tidak mengetahui kehadirannya kini dalam kancah politik pembangkang sendiri sudah mula dipertikai?

Adakah dia tidak sedar cakap-cakap belakang terhadapnya yang mula mempersoalkan kelantangannya selama ini adalah demi kepentingan peribadi dan bukan perjuangan pembangkang secara keseluruhan?

Pastinya laporan polis anak didik Dr Mahathir iaitu bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di segenap ceruk dunia menjadi batu asas untuk negara luar memandang negatif kepimpinan negara.

Fitnah demi fitnah yang dilemparkan sudah lama dipatahkan Kerajaan dengan fakta namun persepsi Dr Mahathir seolah-olah sudah meracuni masyarakat negara ini.

Rakyat sudah mula tidak mempercayai permainan politik Dr Mahathir dan auranya yang dahulu menyakinkan sudah semakin hambar setiap kali berada sepentas dengan pembangkang.

Cukup-cukuplah kita terus memberi muka kepada bekas pemimpin yang belot kepada kepimpinan negara sendiri.

Tindakan Dr Mahathir yang mahu mengulang publisiti murahan pada perhimpunan Bersih 5 itu misi terbuka untuk memecah-belahkan rakyat selain berpaling daripada Najib.

Dr Mahathir juga kini sudah lupa ketokohannya satu masa dahulu adalah kerana sokongan rakyat dalam Kerajaan dan kini dia sendiri menjadi ketua untuk menghancurkan perpaduan bangsanya sendiri.

Kira-kiranya mudah, Bersih 5 merupakan boneka Dr Mahathir dan walau diadakan di negeri mana pun, ia hanya menutup kelemahan bekas perdana menteri itu dalam berpolitik.

Parti baharu?

Setelah sekian lama Dr Mahathir mengumumkan mahu membentuk parti baharu, ia masih menjadi tanda tanya dan pasti jika ia ditubuhkan, sokongan masyarakat untuknya masih belum dapat diketahui lagi.

Tentunya, negawaran seperti Dr Mahathir takut menanggung malu jika parti baru yang akan ditubuhkan olehnya menjadi ‘sekadar di pinggiran’ dan bahan tawa masyarakatnya sendiri.

Jadi, strateginya boleh dibaca, pastinya ada individu yang akan menjadi peneraju sekali gus ‘kambing hitam’ Dr Mahathir dalam isu penubuhan parti baharu tersebut.

Dan Dr Mahathir boleh menghadiri perhimpunan Bersih 5 dengan gaya senyuman meleret seolah-olah tidak pernah membuat dosa kepada rakyat negara ini.Bersih 5

1 COMMENT

LEAVE A REPLY