tun m

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad seolah-olah tidak mahu menghargai masa yang ada pada waktu individu lain yang seusia dengannya sibuk bermain dengan cucu, menghabiskan masa berehat dan beribadat.

Apa sebenarnya yang diinginkan Dr Mahathir dalam usianya yang mencecah lebih 90 tahun ini?

Terbaharu seperti diketahui umum, Dr Mahathir tampil dalam sebuah klip video yang menyeru rakyat untuk menyertai perhimpunan BERSIH 5, 19 November ini.

Semua pastinya mengetahui impak negatif perhimpunan BERSIH sebelum ini yang bukan sahaja merugikan negara malah menyusahkan rakyat daripada setiap golongan.

Dr Mahathir sendiri sewaktu menjadi Perdana Menteri jelas membantah himpunan jalanan. Namun kini sebaliknya, ternyata bekas Perdana Menteri itu semakin terdesak untuk menarik sokongan rakyat memandangkan tenaga penggerak terbesar BERSIH sebelum ini iaitu Pas sudah membuat keputusan tidak menyertai BERSIH 5.

Apa pula impak Dr Mahathir sendiri di dalam BERSIH?

Dalam penganjuran BERSIH 4 pada 2015, Dr Mahathir membuat kemunculan pada himpunan itu yang majoritinya disertai 70 hingga 80 peratus orang Cina.

Persoalannya, sebab apa Dr Mahathir muncul?

Dahulu, Dr Mahathir sendiri yang mengambil tindakan drastik dalam mengekang perhimpunan tetapi akhirnya dia sendiri hadir malahan menyokong pula perhimpunan jalanan.

Tetapi malangnya, masyarakat konservatif Melayu tidak menerima kehadiran Mahathir pada BERSIH 4.

Mereka mengkritik Dr Mahathir sebagai seorang yang mengkhianati UMNO dan Melayu secara keseluruhan.

Bukan mudah untuk sebenarnya Dr Mahathir untuk memberi penerangan dan harus disedari pengaruhnya juga semakin terjejas.

Mungkin Dr Mahathir kini terlalu terdesak untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sehingga tersalah perhitungan dalam segala hal.

Kini, Dr Mahathir mahu menyertai BERSIH 5 dengan harapan melunaskan misi menjatuhkan Datuk Seri Najib. Adakah Dr Mahathir kini mampu menggunakan pengaruhnya untuk mengajak orang Melayu menyertai himpunan jalanan itu?

Dalam klip videonya itu baru-baru ini, Dr Mahathir menggunakan alasan sama seperti sebelum ini iaitu Malaysia akan bankrap di bawah pimpinan Datuk Seri Najib.

Tanpa disedarinya, Malaysia tidak pula bankrap sewaktu dia sendiri menaikkan hutang negara sebanyak dua kali ganda dari 40 peratus kepada 104 peratus untuk nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1986 dalam tempoh lima tahun memegang tampuk pemerintahan negara satu masa dahulu.

Bagaimana pula Malaysia akan bankrap dengan hutang kepada nisbah KDNK sebanyak 54 peratus sekarang?

Apa yang ada di fikiran Dr Mahathir kini adalah mengajak rakyat untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati kepada kerajaan melalui penyertaan dalam demonstrasi BERSIH di Dataran Merdeka dan juga tempat-tempat lain yang dianjurkan perhimpunan itu.

Kenapa pula Mahathir cuba menghasut rakyat melakukan pemberontakan?

Tidak cukup lagikah kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh beberapa negara Islam yang terpedaya dengan hasutan pemberontakan yang direkayasa penyagak mata wang dan penyumbang dana kepada BERSIH, George Soros?

Perlukah rakyat kita ditimpa bala sama seperti yang dialami rakyat Syria, Iraq dan lain-lain lagi?

Jika diingat kembali, ketika menjadi Perdana Menteri, Soros merupakan individu paling dibenci Dr Mahathir sehingga dia sendiri menggelar hartawan Amerika Syarikat (AS) itu sebagai penyangak mata wang. Adakah dia sudah lupa saat itu?

Malah Dr Mahathir sendiri pada ketika itu turut mendidik rakyat Malaysia supaya membenci Soros kerana cuba menjatuhkan kerajaan pada masa itu.

Adakah Dr Mahathir tidak tahu Soros menaja BERSIH? Atau dia sekadar buat tidak tahu dan menutup mata demi memastikan agendanya untuk menjatuhkan Najib berjaya?

Ternyata moral dan prinsip diri Dr Mahathir yang diagung-agung sebelum ini dilupakan begitu sahaja. Rata-rata rakyat sekarang pastinya mahu Dr Mahathir berehat dan bersara dari arena politik tetapi adakah Dr Mahathir sendiri akan berbuat demikian?

Sedih melihat Dr Mahathir yang kini lebih banyak merelakan diri menjadi kuda tunggangan DAP yang mahu menjayakan perhimpunan BERSIH.

Tetapi apakan daya, Dr Mahathir sendiri menentukannya.

Apakan daya juga, tiada siapa yang menyangka, pengakhiran seorang tokoh negarawan yang disanjung tinggi satu masa dahulu bernoktah dengan kesengsaraan dan kebencian rakyat yang diciptanya sendiri.

Baca lagi: Tun Mahathir Ajak Rakyat Sertai BERSIH

LEAVE A REPLY