Bersama

Tanggal 1 Mei setiap tahun, hampir seluruh negara dalam dunia termasuk Malaysia akan menyambut Hari Pekerja. Sambutan Hari Pekerja ini dibuat bagi mengenang serta menghargai segala jasa, peranan serta pengorbanan para pekerja yang sentiasa bertukus lumus menyumbang tenaga bukan sahaja untuk menampung kehidupan seharian diri mereka serta keluarga malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Tanggal 28 April setiap tahun juga, seluruh dunia akan menyambut Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (World OSH Day). Sambutan hari terbabit telah dilaksanakan bermula pada tahun 2003 yang lalu oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Sambutan hari terbabit menekankan aspek pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite dan dialog sosial.

Sambutan hari terbabit juga disambut bagi memperingati mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan oleh pihak Kesatuan – Kesatuan Sekerja di serata dunia. Dalam menyambut dua tarikh penting bagi setiap individu pekerja adalah penting untuk semua pihak yang berkaitan terutamanya pihak majikan untuk memberi keutamaan dalam memelihara keselamatan serta kesejahteraan seseorang pekerja di tempat kerja. Sering kali kedengaran isu kemalangan yang berlaku di tempat kerja yang membawa kepada kecederaan serta kehilangan nyawa terhadap pekerja yang terlibat.

Perkara terbabit berlaku kerana kurangnya kesedaran terhadap isu yang melibatkan aspek keselamatan di tempat kerja serta sikap acuh tak acuh terhadap terhadap aspek keselamatan di tempat kerja. Tidak dapat dinafikan, semenjak mencapai kemerdekaan, pihak kerajaan telah banyak mewujudkan undang – undang dan peruntukkan yang berkaitan dengan dunia pekerjaan serta merangka pelbagai jenis polisi bagi melindungi hak serta kesihatan dan keselamatan seseorang pekerja dalam negara kita.

Undang – undang, peraturan serta polisi sedia ada yang berkaitan dengan sistem pekerjaan dalam negara kita juga sentiasa digubal bagi memenuhi kehendak semasa bagi terus melindungi hak semua pekerja dalam negara kita sama ada pekerja tempatan mahupun pekerja asing.

Ini dapat dlihat dengan jelas melalui peruntukkan yang termaktub melalui Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), dan lain – lain. Namun, segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan baik jika masih terdapat individu atau organisasi yang masih tidak mengambil berat terhadap segala polisi dan undang – undang sedia ada bagi menjamin keselamatan para pekerja dalam negara kita.

Aspek keselamatan di tempat kerja perlu menjadi perkara utama yang dititik beratkan oleh semua pihak samada pihak majikan mahupun pekerja itu sendiri bagi menjamin peningkatan produktiviti sesuatu organisasi. Semua pihak perlu saling memberi kerjasama untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP), polisi serta undang – undang yang membabitkan aspek keselamatan ditempat kerja yang telah ditetapkan dipatuhi pada sepanjang masa.

Pematuhan segala prosedur operasi standard (SOP), polisi serta undang – undang yang berkaitan dengan aspek keselamatan ditempat kerja ini adalah penting bagi memastikan keselamatan semua pihak ditempat kerja adalah terpelihara dan terjamin pada setiap masa.

Pihak majikan dan pekerja juga perlu saling bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan di tempat kerja kerana sebarang insiden kemalangan yang berlaku di sesebuah tempat kerja bukan sahaja akan menjejaskan individu terbabit malah akan memberi kesan dari segi kos operasi terhadap organisasi serta menjejaskan pendapatan semua pihak yang terlibat didalam tempat kerja terbabit.

Aspek pencegahan kemalangan di tempat kerja akan menjadi lebih efektif dan berkesan sekiranya pihak majikan dan pekerja sedar akan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh masing – masing serta memahami kepentingan untuk mewujudkan sebuah tempat kerja yang lebih selamat untuk semua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here