bella daly

Senyuman dan sentuhan manja tidak pernah lekang daripada gerak-geri Nazim Othman dan Bella Daly. Dapat ditebak dengan mudah, pasangan yang baru dinikahkan pada 10 September lalu itu kini sedang belajar memadu asmara secara sah. Kasmaran cinta mereka dilihat begitu menggebu-gebu saat resepsi yang dilangsungkan dalam suasana seperti seorang pahlawan berjaya menawan permaisurinya, Sabtu lalu.

Segaknya Nazim disuai manis oleh Bella dalam padanan busana songket yang digayakan. Latar pelamin yang tidak ubah seperti singgahsana istana lama pula menerbitkan momen nostalgia tersendiri. Nostalgia tersebut kemudian membawa mempelai itu mengimbas semula onak duri percintaan mereka sejak lima tahun lalu.

Ironi, lima tahun berkenalan, percintaan mereka tidak pernah sempat dirai kemuncaknya apabila terputus di tengah jalan. Namun, apa yang dinamakan takdir telah menyimpul semula kasih sayang antara mereka. Jika bukan kerana usaha Bella yang bersungguh-sungguh menghubungi dan bertanya khabar semula tentang kesihatan Nazim sewaktu pelakon itu mengalami ketumbuhan dalam otak dan selamat menjalani pembedahan tahun lalu.

Pada kelopak matanya, sudah bertakung air mata. Kata lelaki berusia 32 tahun itu: “Walaupun pernah berpisah, cinta dan sayang pada Bella masih tebal. Kesungguhan dan kesabaran Bella mendekati saya semula telah membuka jalan percintaan yang pernah terkandas. Saya begitu terharu dengan kesungguhan Bella. Cinta terhadapnya kembali berputik apabila melihat dia begitu mengambil berat dan tetap menjaga saya.

“Hal ini membuatkan saya terfikir bahawa dia insan yang sesuai buat saya. Alhamdulillah, akhirnya ke jenjang pelamin dan berumah tangga kami pada hari ini.”

Hal itu diakui sendiri oleh Bella. Pelakon kelahiran Sabah itu mengaku, dia yang memulakan inisiatif menghubungi semula bekas kekasihnya itu walaupun tidak dilayan pada mulanya.

“Panggilan telefon saya tidak dijawab, namun akhirnya pada suatu masa, dia mengalah. Selepas itu saya kerap ke hospital menziarah dan akhirnya menjaga dia sepanjang waktu proses pulih. Perkembangan positif itu mencambahkan semula rasa cinta antara kami sehingga mengambil keputusan berkahwin,” jelas Bella dalam tutur kata yang cukup sopan.

Ditebak bagaimana pelayaran rumah tangga mereka selepas seminggu berkahwin, tidak banyak yang mampu dikongsi pasangan ini. Hal ini kerana, hakikatnya Nazim tidak punya banyak masa untuk mengemudi bahtera yang baru mahu direntasi.

Pelakon itu yang bernikah di kampung halaman Bella iaitu di Sabah, bergegas pulang ke Kuala Lumpur, beberapa hari selepas usai majlis kerana memenuhi tuntutan kerjanya.

“Lebih kurang dua tiga hari selepas majlis pernikahan di Sabah, saya terus bekerja. Saya perlu meneruskan penggambaran drama rantaian 100 episod Lara Aishah yang masih banyak berbaki.

“Malah, seminggu selepas resepsi ini, saya akan sibuk sehingga Disember, juga atas komitmen terhadap drama yang sama,” jelas Nazim.

Mendirikan rumah tangga dan meletakkan dua keinginan dalam satu kehendak, realitinya tidak mudah. Itu hakikat yang harus ditelan oleh semua pasangan. Hal itu juga dilalui dan mahu dihadam sebaiknya oleh Nazim dan Bella.

Seperti mana Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman mengaku dirinya seorang yang cerewet dan panas baran, kekangan itulah yang perlu ditangani dengan baik oleh Bella sebaik mereka disatukan oleh Pegawai Istana Negeri Sabah, Imbran Angun.

Bella atau Nabilah Ali Dally, 25, hanya tersenyum saat diajak berbicara mengenai sikap suaminya, malah akuinya kerana perbezaan sikap antara mereka itulah yang telah mengikat hubungan mereka.

“Saya terima dia seadanya. Sejak bercinta, kami sudah tahu mengenai perangai masing-masing, jadi tidak ada perbezaan apabila kami telah hidup bersama,” katanya penuh jujur.

Menyifatkan Bella elemen air, manakala dirinya ialah api, Nazim mengakui dia merupakan seorang yang sangat panas baran selain seorang yang berterus-terang jika terdapat sesuatu yang tidak kena.

“Sejak dahulu lagi, apa yang dirasakan tidak kena saya akan meluahkannya. Saya seorang yang berterus-terang. Berbanding dengan Bella, dia merupakan seorang yang sangat tenang.

“Saya rasa tidak menjadi permasalahan besar ataupun kejutan budaya sepanjang kami tinggal sebumbung sebagai suami isteri.

“Saya tahu mengenai sisi baik dan buruknya dan terima Bella seadanya. Saya percaya hal yang sama juga terjadi kepada Bella,” kata Nazim tanpa berselindung.

Malah, pasangan pelakon ini juga bersetuju untuk sama-sama menjalani kehidupan berumah tangga dengan sederhana.

Sebagai anak seni, baik Nazim mahupun Bella tidak mengekang antara satu sama lain untuk terus subur dalam dunia lakonan masing-masing.

Sedar bahawa mereka telah cukup dewasa dan matang untuk menjaga diri serta saling meletak batas dalam pergaulan mahupun cara berlakon dengan bukan muhrim, kata Nazim, sebagai suami dia percaya isterinya mampu menjaga kehormatan diri dan keluarga apabila keluar bekerja.

“Begitu juga dengan saya. Saya akan terus menyokong Nazim dengan karier lakonan yang menjadi cintanya ini,” ujar Bella ringkas.

Artikel berkaitan: Nazim Othman Belum Sedia Kongsi Tarikh Kahwin

1 COMMENT

LEAVE A REPLY