Selangor
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali - Foto oleh Malaysia Dateline

Kerajaan negeri Selangor membentangkan belanjawan RM3.45 bilion dengan lebih separuh daripadanya diperuntukkan kepada pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata 52.2% atau RM1.8 bilion daripada Bajet negeri 2017 diperuntukkan untuk pembangunan manakala 47.8% atau RM1.65 bilion untuk tujuan pentadbiran.

“Ini adalah bajet pembangunan paling besar Selangor, dan kerajaan negeri sekali lagi mengambil peranan utama dengan menyampaikan peruntukan pembangunan yang lebih besar daripada bajet pentadbiran.

“Dalam Bajet Persekutuan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri,  hanya 18% diperuntukkan untuk pembangunan,” kata Azmin kepada Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata ini merupakan peningkatan 25% atau RM360 juta daripada bajet pembangunan tahun lepas. Ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Menurut Azmin, 60.7% atau RM1.093 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan baru, perparitan dan penyelenggaraan pengairan, dan pembangunan bekalan air.

Tambahnya lagi, RM250.258 juta akan diperuntukkan kepada perumahan strata kos rendah, pengangkutan, industri dan pelaburan, bandar, perancangan bandar dan luar bandar, dan perkhidmatan veterinar.

Sejumlah RM247.156 juta lagi adalah untuk khidmat masyarakat, keusahawanan, pembangunan belia, sukan, dan pembangunan wanita dan keluarga.

Kerajaan Selangor juga memperuntukkan RM209.260 juta bagi penjagaan kesihatan asas, denggi dan program pencegahan Zika, pembangunan ekonomi luar bandar, dan perkembangan asas luar bandar selain RM183.2 juta untuk membiayai program air percuma di negeri ini.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mencadangkan bahawa air percuma digunakan dengan cara yang berhemah. Air adalah sumber yang berharga dan penggunaannya memerlukan amalan pemuliharaan,” kata Azmin.

Berkenaan ekonomi Selangor, beliau berkata, ia dijangka akan berkembang antara 5% hingga 5.5% berbanding dengan 4% kepada 4.5% daripada ekonomi persekutuan.

Azmin mengaitkan pertumbuhan asas-asas kukuh ekonomi negeri melalui permintaan domestik yang kukuh dan mampan, kadar pengangguran yang rendah, sumber pelbagai pendapatan, dan perbelanjaan sektor swasta yang kukuh.

Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga menunjukkan Selangor telah menghasilkan pelaburan berjumlah RM3.04 bilion yang melibatkan 130 projek yang diluluskan pada 2016.

Azmin berkata kerajaan negeri komited untuk mengekalkan pelaburan sedia ada di samping meningkatkan pelaburan asing.

Mengenai prestasi kewangan di negeri ini, beliau berkata rizab Selangor meningkat daripada RM3.26 bilion pada Disember 2015 kepada RM3.62 bilion pada Oktober 14, 2016, dan kerajaan negeri masih mempunyai lebihan RM351.38 juta pada tarikh yang sama.

LEAVE A REPLY