Bazar Ramadan

Kewujudan Bazar Ramadan sepanjang Ramadan merupakan satu ruang dan peluang kepada kebanyakan peniaga khasnya barang makanan untuk memperoleh rezeki di bulan mulia ini. Bazar ini juga menjadi tempat tumpuan penduduk berhampiran untuk mendapatkan juadah yang enak untuk berbuka puasa. Saban tahun kita sering mendengar isu harga barang makanan yang dijual di Bazar ini kadangkala mahal dan ada juga yang menyatakan peniaga di Bazar cuba mengambil kesempatan di atas keperluan pengguna untuk mendapatkan makanan.

Namun, sejak kebelakangan ini terdapat isu lain yang disentuh apabila kita menyebut tentang Bazar Ramadan kerana berdasarkan kepada situasi semasa terdapat Bazar Ramadan ini menjadi ruang menyemarakkan api persengkataan akibat perbezaan fahaman ideologi politik. Akibat berbeza parti, pelbagai pergeseran boleh berlaku. Ini merupakan satu contoh budaya tidak matang segelintir rakyat Malaysia yang tidak mengerti pencak politik berjiwa besar.

Baru-baru ini di sebuah Bazar Ramadan di Kluang, Johor, sekumpulan rombongan yang diketuai Ahli Parlimen Kluang dari Parti DAP telah pergi ke Bazar berkenaan untuk mengedarkan kurma kepada pengunjung Bazar berkenaan. Niat mereka nampak baik dan kita seharusnya meraikan usaha seperti ini kerana mampu menjadi pengerat hubungan sesama manusia, khasnya dalam lingkungan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Namun sesuatu yang mengecewakan telah berlaku apabila rombongan Ahli Parlimen ini telah menerima sambutan negatif daripada sebilangan orang yang dikatakan sebagai peniaga di Bazar berkenaan. Mereka mencetuskan provokasi dan dilihat bertindak kasar dalam menangani kunjungan rombongan berkenaan. Tindakan sebegini sebenarnya agak memalukan untuk sekumpulan umat Islam yang sedang berpuasa, tetapi tidak dapat menahan sabar dan bertindak di luar batas.

Dilaporkan tindakan kasar berkenaan diambil kerana kumpulan peniaga berkenaan tidak berpuas hati dengan dakwaan cadangan Ahli Parlimen berkenaan yang dikatakan pernah cuba meminta Bazar berkenaan dialihkan ke tempat lain. Jelas sekali tindakan seperti itu bukanlah cara untuk menjawab cadangan Ahli Parlimen berkenaan. Masih banyak saluran yang boleh digunakan untuk membantah cadangan seperti itu dan memilih jalan kasar di bulan mulia bukanlah satu tindakan bijak.

Pemimpin politik dari pelbagai latar sebenarnya perlu mengambil iktibar dari isu ini dan perlu sentiasa memahamkan penyokong masing-masing agar mengetahui dengan teliti makna toleransi dan bagaimana sesebuah masyarakat berbilang kaum sewajarnya berfungsi. Apa yang menyedihkan selepas insiden itu, masih berlaku tuding-menuding sesama pemimpin politik dari parti-parti berbeza ini berkaitan isu ini. Sewajarnya mereka bertindak matang dengan menyelesaikan perkara ini secara berhemah dan tidak lagi memanjangkan perkara ini.

Pemimpin politik wajar menjadi contoh dan cermin kepada penyokong mereka, seorang pemimpin yang baik sudah tentu dapat mencorak pemikiran dan ketertiban budaya tinggi dalam kalangan penyokongnya. Diharapkan isu seperti ini dapat dihentikan kerana negara memerlukan pemaparan keharmonian kaum yang jitu demi kestabilan politik yang berterusan. Mana-mana parti politik harus memahami sesuatu tindakan dengan berkesan bagi mengelak sebarang masalah atau tercetusnya pergeseran yang boleh disalah erti sehingga mencetuskan perkara tidak diingini. Tutuplah halaman buruk itu dan bukalah halaman baru yang lebih sejahtera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here