Bajet Perak

IPOH, 15 Nov — Dalam Bajet Perak 2017, Kerajaan negeri Perak akan meneruskan Program Bantuan Perumahan dikenali sebagai Skim INFRA Bina Baru Kediaman dan Skim INFRA Baik Pulih Kediaman pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi program tersebut yang akan dilaksanakan melalui Yayasan Bina Upaya.

“Sejak dilaksana pada 2012, seramai 1,749 telah mendapat manfaat daripada program itu,” katanya ketika membentangkan Bajet 2017 Perak bertemakan ‘Pertumbuhan dan Pembangunan berjumlah RM1.07 bilion pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Selain itu, katanya bantuan pinjaman perumahan di bawah Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) tanpa faedah akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta.

Bagi menangani masalah banjir, Zambry mengumumkan peruntukan RM19 juta untuk melaksanakan beberapa projek termasuk rancangan tebatan banjir dan saliran; rancangan pengurusan dan pemuliharaan sungai serta menaik taraf infrastruktur rancangan pengairan dan saliran pertanian.

Selain itu, RM6.5 juta diperuntukkan untuk pemuliharaan ban pantai dan struktur kawalan hakisan serta RM0.6 juta untuk pelbagai kerja pengukuran, penyiasatan dan pembaikan bangunan milik jabatan.

“Peningkatan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bertujuan meningkatkan usaha pemuliharaan ban pantai serta struktur kawalan hakisan di samping menaik taraf infrastruktur rancangan pengairan dan saliran pertanian,” katanya.

Zambry berkata bantuan bekalan air percuma bagi 20 meter padu sebulan yang dilaksanakan sejak sembilan tahun lalu masih diteruskan tahun depan kepada mereka yang layak.

Bajet 2017 Perak turut memperuntukkan RM35.79 juta bagi usaha pembasmian kemiskinan merangkumi penambahan Kedai Bergerak 1Amanjaya, program Bantuan Ikhlas Bina Upaya dan program Bantuan Imarah Bina Upaya.

“Usaha lain termasuk bantuan am kebajikan, bantuan kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan bantuan kepada Pusat Jagaan warga Tua yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, sektor sosial dan keagamaan paling banyak menerima peruntukan iaitu RM87.37 juta melibatkan 20 program termasuk pembinaan baharu dan baik pulih masjid serta surau; projek baik pulih rumah ibadat bukan Islam, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), elaun bilal dan siak serta bantuan tunai semasa perayaan.

Kerajaan negeri turut memperuntukan RM53 juta bagi tujuan pendidikan yang antara lain diberi kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS); program Dermasiswa Pendidikan Dalam Negeri dan Tabung Simpanan Pendidikan Negeri, katanya.

Bagi pemerkasaan generasi muda dan golongan belia, Zambry mengumumkan peruntukan RM7.95 juta antaranya untuk program Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) serta program dan aktiviti di bawah Koloni Karyawan Amanjaya atau ‘PORT’.

“Kerajaan negeri juga menitikberatkan program pembangunan wanita serta kebajikan dan untuk itu RM3 juta diperuntukan bagi tahun 2017,” katanya.

Katanya RM6.6 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian Perak bagi memastikan pelbagai rancangan termasuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengembangkan industri komoditi berpotensi seperti cendawan tercapai.

Zambry turut mengumumkan peruntukan RM5 untuk program dan aktiviti sektor penternakan serta RM1 juta bagi pembangunan ikan hiasan, pengurusan sumber perikanan darat dan pembinaan Pusat Konservasi Penyu di Segari, Manjung.

LEAVE A REPLY