baharu

Pengurus Sunderland, Sam Allardyce akan dilantik menjadi pengurus baharu England dalam tempoh 24 jam akan datang, lapor media British pada Rabu.

England ketiadaan jurulatih selepas Roy Hodgson meletak jawatan susulan kekalahan ke atas Iceland dalam saingan 16 terakhir Euro 2016 lalu.

Allardyce, 61, yang menjadi pengurus di Sunderland sejak Oktober lalu berjaya mengelakkan pasukan itu daripada penyingkiran musim lalu.

Kelab itu pada Rabu, bagaimanapun menyatakan mereka kecewa terhadap keadaan itu.

“Sememangnya kami menyedari spekulasi media yang hangat mengenainya. Bagaimanapun, Sam Allardyce akan kekal sebagai pengurus Sunderland buat masa ini,” kata kelab itu dalam kenyataan.

image via Telegraph

“Kami faham kemarahan dan kekecewaan yang dialami oleh penyokong dan kami akan buktikan kepada mereka bahawa kami sedang berusaha untuk mengakhiri perkara itu dengan cara terbaik demi kepentingan Sunderland AFC,” katanya.

Allardyce menjadi jurulatih pilihan buat pasukan England selepas Sunderland pada minggu lalu mengesahkan mereka diberi kebenaran untuk bercakap kepada pengurus mereka mengenai jawatan pengurus England yang masih kosong.

Pengurus Hull City, Steve Bruce turut ditemuduga untuk jawatan berkenaan, sementara media British melaporkan FA telah bercakap kepada Ketua Jurulatih Jerman, Juergen Klinsmann dan jurulatih Inggeris Bournemouth, Eddie Howe.

England mencari pengurus baharu selepas mereka mengalami kekalahan yang memalukan dalam Kejohanan Eropah pada akhir bulan lepas.

LEAVE A REPLY