Azmin

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini pastinya berada dalam keadaan dilema sama ada mahu memecat atau mengekalkan tiga Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Biarpun Azmin dikatakan telah meminta tiga Exco PAS berkenaan berbuat demikian, namun PAS sehingga kini masih belum menerima arahan daripada Mohamed Azmin supaya kesemua Exco itu meletakkan jawatan atau dipecat.

Persoalannya, adakah Mohamed Azmin berani untuk berbuat demikian?

Juga timbul persoalan, adakah Pakatan Harapan diketuai DAP akan mendesak supaya Mohamed Azmin segera memecat tiga Exco PAS berkenaan?

Jika diimbas kembali, pada 1 November 2015, Mohamed Azmin menerima tamparan hebat apabila DAP Selangor memberi kata dua untuk memecat wakil rakyat PAS dari pentadbirannya.

Mohamed Azmin pada waktu itu ‘diugut’ supaya memecat Exco PAS dan jika tidak berbuat demikian DAP akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Tetapi pada waktu itu, Mohamed Azmin tidak memecat Exco PAS dan adakah DAP keluar dari negeri Selangor?

Sehingga kini, DAP masih kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan kenapa DAP tidak keluar walaupun telah mengugut berbuat demikian?

Timbul persoalan, apakah tujuan utama DAP membuat ugutan sedemikian?

Kini, selepas PAS memutuskan menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, terdapat pemimpin DAP yang mahu wakil rakyat PAS meletak jawatan dari pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Adakah DAP sekali lagi akan ‘ugut’ Mohamed Azmin supaya memecat tiga Exco PAS di Selangor?

DAP bersetuju dengan tindakan Mohamed Azmin yang meminta tiga Exco PAS meletak jawatan selepas parti itu memutuskan hubungan politik tahaluf siyaasi dengan PKR telah terbatal.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PAS tidak boleh meletakkan wakilnya dalam barisan Exco Kerajaan Selangor selepas ‘bercerai’ dengan PKR kerana tindakan itu tidak betul.

Nada sama turut dinyatakan oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Tony Pua mencadangkan PAS Selangor melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri dan menyertai UMNO di barisan pembangkang, selepas tidak lagi mempunyai tahaluf siyasi dengan PKR.

Adakah DAP sebenarnya tidak senang atau menyukai terdapat wakil rakyat PAS dalam pentadbiran negeri Selangor?

Majlis Syura Ulama PAS pada 11 Mei 2017 sebulat suara mengambil keputusan menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti berkenaan.

Keputusan itu sememangnya dijangkakan selepas Muktamar PAS ke-63 di Kedah baru-baru ini yang meluluskan usul supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan apabila PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Susulan daripada itu, Mohamed Azmin telah mengadakan pertemuan dengan tiga Exco Selangor daripada PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib serta Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhy, bagi mendengar penjelasan mereka berhubung keputusan Majlis Syura Ulama PAS berkenaan.

Iskandar kini memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Ahmad Yunus pula menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi sementara Zaidy menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi exco yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang daripada PKR, DAP dan PAS.

Adakah PAS akan mengarahkan tiga wakil rakyatnya di Selangor melepaskan jawatan Exco dalam kerajaan negeri?

Seperti dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, tiga Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor tidak akan meletakkan jawatan selagi tidak mendapat titah supaya berbuat demikian daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin juga menegaskan, PAS tidak akan membenarkan tiga Exconya dalam kerajaan negeri Selangor meletakkan jawatan sekalipun Mohamed Azmin mengarahkan mereka berbuat demikian.

Ini kerana PAS parti perlu menghormati arahan pihak lain yang ‘lebih berkuasa’ di Selangor berbanding akur kepada kehendak Menteri Besar berkenaan.

Tanpa mendedahkan individu yang dimaksudkan ‘lebih berkuasa’ itu, Hashim berkata, Jawatankuasa PAS Pusat juga akan bermesyuarat bagi membincangkan kedudukan tiga Exco berkenaan dan membuat pengumuman mengenainya sekiranya berjaya mencapai satu keputusan.

Jika dirujuk mengikut perlembagaan mana-mana negeri termasuk Selangor, pelantikan Exco diperkenan oleh Sultan atas cadangan Menteri Besar.

Menteri Besar mempunyai kuasa untuk membuat cadangan tetapi akhirnya terserah kepada perkenan Sultan kerana Sultan yang memberi amanah untuk menjalankan tanggungjawab.

Semua pihak perlu membezakan di antara jawatan dalam kerajaan dan politik kerana kedua-duanya berbeza.

Jawatan Exco adalah jawatan dalam kerajaan yang memberikan khidmat kepada rakyat dan bukannya jawatan politik dalam parti.

Sehingga kini, masih tiada titah daripada Sultan Selangor untuk tiga Exco PAS di Selangor meletakkan jawatan.

Adakah Mohamed Azmin akan mengadap Sultan Selangor untuk mencadangkan perletakan jawatan tiga Exco PAS berkenaan?

Jawatan itu adalah untuk memberikan khidmat kepada rakyat di Selangor dan bukan kerana tujuan politik dan Mohamed Azmin pasti mengetahuinya.

Adakah Mohamed Azmin akan bertindak merombak barisan Exconya?

Sama-sama kita menantikannya episod baharu yang akan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mari kita tengok siapa yang kena …

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here