Azmin Ali

Spekulasi bertiup kencang kemungkinan kerajaan negeri Selangor bakal tumbang, namun sebaliknya berlaku apabila Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali disambut oleh puluhan penyokong yang membawa pelbagai sepanduk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

Antara yang mengejutkan adalah  kehadiran adalah dua orang anggota exco PAS Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi bersama timbalan speaker DUN Selangor, Shafie Ngah, yang juga adalah timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor.

Walau bagaimanapun, kelibat Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad, yang juga seorang anggota exco kerajaan negeri tidak kelihatan pada majlis anjuran kelab penyokong kerajaan (BBC) negeri itu.

“Dewan Undangan Negeri belum dibubarkan, bukan?” kata Azmin yang sempat berseloroh ketika bersalaman dengan timbalan speaker.

Antara yang hadir termasuk ADUN Sekinchan Ng Suee Lim, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari, Ahli Parlimen, Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Manakala wakil rakyat PAS yang hadir adalah ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman, ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADUN Seri Sedang,Noor Hanim Ismail.

Azmin ketika bercakap kepada pemberita, menolak spekulasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan negeri yang diterajuinya bakal tumbang.

“Jelas sekali, pilihan raya umum semakin hampir, tetapi angan-angan Umno masih jauh daripada realiti.

“Umno beranggapan dengan membuli kerajaan negeri, kita akan hadapi masalah, tetapi hari ini kerajaan Selangor begitu kuat,” katanya.

Azmin dan delegasinya pulang susulan lawatan ke Maghribi, Jordan dan Mesir sejak 1 Mei lalu bagi menyampaikan sumbangan pendidikan Peduli Siswa RM2.5 juta kepada pelajar Selangor di sana.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here