azlan & the typewriter
Cover image via liriklaguterkini.blogspot

PENYANYI Azlan & The Typewriter enggan menggambil keputusan terburu-buru mengeluarkan album penuh pada tahun ini kerana trend muzik semasa yang tidak menentu.

Menurut Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 34, berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk menghasilkan album kerana tidak mahu menanggung kerugian akibat kurang mendapat sambutan.

“Kami sebenarnya ada perancangan untuk keluarkan album tetapi bukan sekarang kerana trend muzik semasa tidak menentu.

“Saya takut buang masa sahaja, lagipun daripada menanggung kerugian kerana album tak laku cukuplah kami cuma menghasilkan single dahulu,” katanya.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul, ‘Lambat Tinggal’ di Kafe Skrin, Kuala Lumpur, di sini, Rabu.

Tambahnya, lagu tersebut lebih kepada memberikan semangat kepada pendengar berbanding daripada tema cinta yang selalu dibawanya.

“Lagu ini lebih kepada rentak rancak, ceria dan bersemangat apabila didengar kerana ia membawa mesej tentang apa saja dilakukan, harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa menggambil masa yang lama untuk menyiapkannya,” jelasnya.

Lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Azlan ini juga bakal dijadikan lagu tema untuk syarikat telekomunikasi Onexox.

Dalam perkembangan berlainan, Azlan berkata, dia bakal muncul dengan sebuah konsert berjudul High Note 2016 yang akan diadakan pada 25 hingga 27 November depan.

Konsert ini juga bakal melibatkan penyanyi terkenal Ziana Zain dan Jaclyn Victor yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Konsert ini merupakan permintaan daripada peminat-peminat kami untuk melihat gabungan penyanyi bernada tinggi di atas satu pentas.

“Jadi kami telah memilih Ziana Zain dan Jaclyn Victor untuk turut serta dalam konsert kali ini,” katanya.

LEAVE A REPLY