azharina
Cover image via Harian Metro

Minggu keempat program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) lalu memberi kejutan buat Azharina Azhar apabila dia berada di kedudukan tiga terbawah.

Ia berbeza berbanding tiga minggu sebelumnya Azharina, 31, atau lebih mesra disapa Nina sering menghuni tangga tiga teratas.

Tersentak dengan keputusan itu, penyanyi lagu Elergi Sepi ini mengakui bimbang dan menyerahkan nasibnya dalam program itu kepada Allah.

“Saya memang terkejut dengan keputusan itu. Saya sangat bimbang hingga terbawa-bawa sampai ke rumah. Sepanjang malam itu saya gelisah dan rasa tak menentu kerana terlalu memikirkan perkara itu.

“Setiap hari sebelum bermulanya konsert kelima, saya tetapkan dalam fikiran dengan menyerahkan perkara itu kepada rezeki. Cuma saya tak mahu berputus asa dalam memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Menurut Azharina, cara nyanyiannya yang sedikit keras ketika menyampaikan lagu berjudul Doa Buat Kekasih duet bersama Haleeda itu mempengaruhi markah.

Namun, Azharina tidak mahu menyalahkan pasangan duetnya kerana teguran diberikan ke atas dirinya yang dirasakan kurang sesuai dengan lagu berkenaan.

Memasuki minggu kelima, Azharina yang juga Juara Bintang RTM 2001 mengakui tertekan dengan tugasan diberikan iaitu lagu Berhenti Berharap nyanyian asal kumpulan Sheila On 7.

“Sudahlah saya berada di kedudukan tiga terbawah ketika itu, dapat pula tugasan lagu yang cukup mencabar. Perkara itu menambahkan lagi tekanan dalam diri hingga saya sukar nak tidur kerana terlalu memikirkan lagu itu.

“Alhamdulillah, dengan bantuan tenaga pengajar saya berjaya menyampaikan lagu itu. Lebih membuatkan saya terharu apabila barisan juri memberi maklum balas positif dan memuji. Bagi saya itu sudah memadai. Hilang segala gundah yang menyelubungi diri,” katanya.

Menerusi lagu itu Azharina diumumkan sebagai Persembahan Paling Menyengat selain berada di tangga pertama dengan jumlah markah 86 peratus.

Hati-hati jika benar GV3 ‘diganggu’

Spekulasi yang mengaitkan pertandingan GV3 ini dengan amalan mistik membuatkan Azharina lebih berhati-hati.

“Semua orang takut apabila mendengar perkara itu. Namun saya percaya tidak ada kuasa yang lebih hebat daripada Allah. Jadi saya hanya berserah kepada-Nya.

“Saya tak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang jatuh fitnah. Cuma apa saya boleh lakukan adalah sentiasa berhati-hati dan beringat. Bagi saya ini adalah rintangan untuk menuju kejayaan. Apa yang penting banyakkan berdoa,” katanya.

Meneruskan cabaran minggu ini, Azharina diberikan lagu Kejoraku Bersatu nyanyian asal Search. Baginya lagu bergenre rock itu satu lagi cabaran hebat untuknya.

“Saya tak pernah menyanyikan lagu rock, tapi akan cuba sehabis baik. Saya menyedari kemampuan diri sendiri, jadi mahu menampilkan sedikit kelainan.

“Setiap kali mendapat tugasan baru, sehari suntuk saya berfikir mengenainya. Saya tidak mahu menghampakan harapan peminat dan juri yang mahu melihat persembahan berbeza daripada saya,” katanya.

Baca lagi: GV3: Siti Sarah Nafi Terkena Sihir

LEAVE A REPLY