Audit Perlis

KANGAR, 21 Nov  — Hasil audit Perlis, empat agensi kerajaan di negeri ini ditegur oleh Ketua Audit Negara kerana gagal membuat kutipan hasil atau cukai menyebabkan peningkatan tunggakan sehingga menjejaskan pendapatan kerajaan negeri.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, agensi terbabit ialah Jabatan Tanah dan Galian (PTG), Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

Pengauditan yang dibuat antara Mac hingga Ogos lepas mendapati tunggakan cukai tanah sehingga Jun bagi 17,204 akaun berjumlah RM10.75 juta manakala tunggakan sewa-beli 550 akaun sehingga Mac 2016 berjumlah RM5.81 juta.

Ketua Audit Negara turut menegur PTG kerana tidak mengambil tindakan terhadap tanah tiada penama yang mempunyai tunggakan cukai melebihi tujuh tahun.

UPKT juga ditegur kerana meletak sasaran kutipan sewa-beli terlalu rendah iaitu RM300,000 sahaja setahun daripada 3,136 penyewa Rumah Awam Kos Rendah.

Selain itu 124 dari 128 penyewa-beli yang mempunyai tunggakan keseluruhan berjumlah RM2.27 juta yang diberi Notis Peringatan Terakhir tetapi tindakan tidak diambil dan mereka masih tinggal di premis berkenaan.

“UPKT didapati mengambil masa antara 44 bulan hingga 100 bulan untuk mengeluarkan Notis Peringatan Terakhir dari tarikh Notis Peringatan Kedua yang dikeluarkan kepada 16 orang penyewa-beli yang mempunyai tunggakan keseluruhan sehingga Jun 2016 sebanyak RM290,119,” menurut laporan itu.

Ketua Audit Negara mengesyorkan UPKT dan PTG melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pemilik tanah dan penyewa-beli perumahan awam.

Pengauditan mendapati pengurusan sewa premis dan tapak perniagaan oleh MPK keseluruhannya memuaskan namun masih banyak yang perlu diperbaiki bagi mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan.

MPK menetapkan sasaran kutipan sewa berjumlah RM2.95 juta masing-masing bagi tahun 2014 dan 2015 tetapi pengauditan mendapati hasil yang diterima kurang 27 peratus daripada sasaran.

Tindakan MPK kerana masih menawarkan penyambungan sewa kepada penyewa yang mempunyai tunggakan tinggi membabitkan 20 penghutang sehingga Mei 2016 berjumlah RM223,063 juga mendapat teguran Ketua Audit Negara.

“MPK disyorkan mengemaskini syarat Perjanjian Sewa dan memastikan syarat-syarat perjanjian dipatuhi supaya sewa dapat dikutip sepenuhnya termasuk daripada penyewa tidak aktif,” tambah laporan itu.

Mengenai PKENPs, pengauditan yang dibuat sehingga Mei menunjukan urus tadbir agensi itu bertambah baik dan yakin kecekapan pengurusan boleh dipertingkatkan bagi mencapai matlamat penubuhannya.

“Umumnya pengauditan menunjukkan agensi-agensi terbabit boleh membuat penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kerajaan Negeri berkewajipan memantau aktiviti anak-anak syarikatnya agar terus mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, mematuhi peraturan dan berdaya saing supaya objektif penubuhannya tercapai,” kata Ketua Audit Negara.

LEAVE A REPLY