ayda jebat
Cover image via rotikaya.com

JIKA bintang di langit malam dapat dikutip dan ditukar setiap satu menjadi kepingan ringgit sekalipun, belum tentu nilai tersebut mampu menandingi rasa syukur dan terima kasih yang ingin diluahkan pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat terhadap peminatnya.

Semua itu hadir kerana hasil sokongan peminatlah yang menjadikan pemilik nama sebenar, Nur Suhada Jebat itu tidak pernah pudar cahaya popularnya. Bintang Ayda semakin terang berkerdip seiring pencapaian dan pengiktirafan yang pernah diraihnya sepanjang tujuh tahun bergelar pelaku seni.

Buktinya, menerusi Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016) yang berlangsung di Teater MES Mediacorp, Singapura hujung minggu lalu, Ayda berjaya meraih tiga anugerah dalam kategori pilihan penonton iaitu Ikon Media Sosial, Artis Paling Popular, Lagu Paling Popular APM2016.

Kejayaan tersebut sekali gus meletakkan jentera penyokong pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% itu sebaris dengan penggemar nama-nama besar lain seperti Yuna, Afgan dan Taufik Batisah dalam industri muzik di Nusantara.

Mengakui begitu tersentuh dengan kesungguhan yang dihamparkan oleh peminat, Ayda berkata, momentum kerjaya seninya yang begitu laju dipacu pada hari ini adalah disebabkan oleh kehadiran peminat yang tidak pernah lelah melaungkan sorak buatnya.

“Setiap kali melihat sokongan yang diberikan, pasti rasa terharu datang mencuit hati. Bayangkan, mereka sanggup berjaga malam semata-mata mahu memastikan kemenangan saya dalam setiap majlis anugerah.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan penyokong, peminat dan juga sahabat yang tidak pernah jemu untuk melihat saya melakar kejayaan dalam bidang seni. Sejujurnya, tiada ucapan yang mampu untuk menzahirkan rasa terima kasih saya kepada mereka,” ujar Ayda membuka bicara.

Melanjutkan bicara mengenai APM2016, Ayda melahirkan sedikit rasa kecewa apabila pencalonan yang diterima bagi kategori Artis Baharu Terbaik tidak berpihak kepadanya.

Pada malam tersebut, Ayda harus akur dengan keputusan juri apabila dia ditewaskan oleh penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma.

Kekecewaan tersebut bagaimana lekas terubat tatkala menjadikan tiga trofi di tangan sebagai pembakar semangat untuk melestarikan kerjaya seninya ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya berasa sedikit kecewa apabila nama saya tidak diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut. Namun, apabila difikirkan semula, tiga anugerah yang diterima bagi kategori popular sudah cukup bermakna buat saya.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat mengharumkan nama negara dengan menjadi penyanyi wanita kedua daripada Malaysia yang berjaya memenangi kategori Artis Paling Popular APM selepas Datuk Siti Nurhaliza,” katanya sambil tersenyum.

Konsert

Persinggahannya di Singapura bukan sekadar untuk menghadiri majlis anugerah. Sehari selepas menghangatkan pentas APM2016 dengan persembahan lagu Pencuri Hati versi dangdut, peminat Ayda di negara republik tersebut sekali lagi dihiburkan menerusi penganjuran konsert mini Ayda Jebat Live In Singapore yang diadakan di Muslim Delights, Hotel Concorde, Jalan Orchard, Singapura.

Membawa penonton menelusuri perjalanannya sebagai seorang anak seni, dramatis kelahirann Melaka itu memilih untuk menyanyikan sembilan buah lagu pelbagai genre yang begitu dekat dalam penceritaan kepayahan dan cabaran yang dilalui sewaktu sedang berusaha mencipta nama.

Diiringi sebuah kugiran, Ayda membuka tirai konsert dengan membawakan single perdananya, Siapa Diriku. Lincah membungakan langkah tari, lagu yang kembali memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi itu segera menghidupkan kemeriahan suasana di dalam dewan.

Beralih ke judul seterusnya, Ayda menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dan Kuch Kuch Hota Hai secara medley. Berbicara mengenai medley tersebut, Ayda berkata, lagu nyanyian asal Siti Nurhaliza dan Udit Narayan serta Alka Yagnik itu memberi nilai sentimental yang luar biasa terhadap dirinya sebagai seorang penyanyi.

“Ketika saya berusia enam tahun, ibu masih lagi bergelar penyanyi kelab di Ayer Keroh Country Club, Melaka. Setiap kali menemani ayah untuk menjemput ibu pulang dari tempat kerja, saya akan curi-curi menyanyi di atas pentas apabila pelanggan telah pulang.

“Disebabkan tidak tahu lagu lain, saya hanya menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dan Kuch Kuch Hota Hai pada waktu itu,” ujar Ayda yang menyifatkan momen tersebut sebagai pencetus kepada minatnya terhadap bidang nyanyian.

Meneruskan persembahan, Ayda menyanyikan lagu Fallin yang pernah dipopularkan oleh Alicia Keys, Love You Like A Love Song (Selena Gomez & The Scene), Jaga Dia Untukku (Siti Nurhaliza) dan tidak lupa juga single keduanya, Pencuri Hati.

Emosi

Usai menyanyikan lagu ciptaan Kevin Chin tersebut, emosi hampir 200 penonton yang hadir dijentik sayu apabila Ayda mula meluahkan apresiasinya terhadap peminat.

Kata Ayda, biarpun harapan untuk bergelar penyanyi pernah musnah sewaktu digugurkan daripada senarai peserta Akademi Fantasia musim kesembilan lima tahun lalu, namun kekuatan untuk kembali melantunkan suara terbina menerusi semangat yang ditiupkan oleh peminat.

“Sebagai individu (peminat) yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah, anda sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menyokong kerjaya seni saya tidak kira susah atau senang, anda tetap bersama.

“Saya menjadi sendiri buntu dan tidak tahu bagaimana cara untuk membalas jasa anda semua Disebabkan itu, saya sentiasa cuba yang terbaik agar anda tidak pernah berasa rugi setiap kali mahu menyokong saya,” ungkap Ayda sambil mengelap air mata yang mengalir deras di pipinya.

Cuba membunuh atmosfera sedih yang dicetuskan secara tidak sengaja, Ayda meneruskan persembahan pada malam tersebut dengan menyanyikan lagu I Will Survive (Gloria Gaynor) sebelum menutup konsert mini perdananya itu dengan sebuah lagu rancak, Goyang Inul.

Biarpun dalam kapasiti yang kecil, persembahan Ayda Jebat Live In Singapore berjaya menyatukan penyanyi berkenaan dengan kelompok peminatnya di Singapura.

Penonton yang hadir juga dilihat cukup terhibur dengan lagu-lagu yang dinyanyikan.

Menilaikan persembahan Ayda menerusi kaca mata penonton, siapa sangka, penyanyi yang dahulunya pernah jatuh tersadung di pertengahan jalan kini mampu memperluaskan pengaruh ke negara seberang. Syabas Ayda Jebat!

Baca lagi: APM 2016: Ayda Jebat Rangkul 3 Trofi

LEAVE A REPLY