caliph buskers
Cover image via mahagosip.com

PENTAS berprestij Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016) yang berlangsung pada malam Jumaat minggu lalu menjadi saksi kepada catatan baharu dalam sejarah dunia hiburan negara. Hal ini kerana, anugerah yang bersiaran langsung dari The Theatre at Mediacorp, Singapura itu menyaksikan dua artis negara iaitu kumpulan Caliph Buskers dan penyanyi Ayda Jebat pulang bergaya dengan beberapa anugerah utama.

Hakikatnya, ini merupakan kali pertama kedua-dua pemenang tersebut menempatkan diri mereka selaku calon dalam anugerah yang sudah memasuki usia 15 tahun penganjuran itu.

Biarpun masih hijau dalam lapangan dunia hiburan, apatah lagi terpaksa bersaing dengan ramai lagi calon lain yang lebih berpengalaman, namun situasi itu membuktikan sementah mana mereka, hanya bakat yang menjadi kunci utama kejayaan.

Caliph Buskers terbaik

Ternyata, kekurangan fizikal yang membezakan Caliph Buskers dengan individu normal lain bukanlah satu kekangan untuk menidakkan kejayaan mereka pada malam tersebut.

Caliph Buskers dianggotai oleh enam ahli iaitu Khairul Azmi Saat, 28, (vokalis), Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram), Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin), Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker) sememangnya mempunyai aura tersendiri.

Dinobatkan selaku pemenang Anugerah Lagu Terbaik (Malaysia) dan Lagu Terbaik APM2016, menerusi lagu Hanya Namamu, ironinya telah membuka mata ramai pihak akan kehebatan bakat yang dimiliki mereka.

Terlebih dahulu, tanpa pencipta lagu tersebut, Edry Abdul Halim yang juga individu pertama mengesan bakat jalanan mereka untuk dikomersialkan dalam dunia hiburan tempatan.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah dalam bentuk pengiktirafan seperti ini. Apa yang pasti, sebenarnya anugerah ini lebih kepada pencipta lagu iaitu Edry Abdul Halim.

“Kami sangat berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan kepada Caliph Buskers untuk membawa lagu ini. Jadi, kami anggap kemenangan ini adalah hak bersama,” ujar vokalis kumpulan itu, Azmi.

Tergamam saat nama mereka disebut selaku penerima anugerah utama iaitu Lagu Terbaik APM, Caliph Buskers menambah bicara, mereka sememangnya tidak menyangka mampu melakar sejarah dan menewaskan ramai artis besar yang lain.

“Perasaannya seperti kami bermimpi. Sewaktu mula-mula bernyanyi di kaki lima dahulu, dalam kepala kami tidak pernah terlintas akan sampai ke tahap sebegini, apatah diiktiraf di atas sebuah pentas besar membabitkan negara jiran yang lain,” ujar Azmi terharu.

Pernah dijulang sebagai pemenang tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30) pada awal tahun ini, Caliph Buskers mengakui kemenangan ini adalah tanda aras baharu kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti mereka.

“Apa yang kami harapkan, kemenangan sebegini dapat memberi kesedaran dan membuka peluang kepada bukan sahaja buskers seperti kami, tetapi semua golongan OKU untuk mencipta kejayaan dalam apa sahaja kerja yang dilakukan.

“Seperti kejayaan atlet paralimpik negara dalam Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, ia menjadi bukti bahawa manusia seperti kami juga boleh berdiri sama tinggi dengan orang lain,” ujar Azmi yang berharap agar kejayaan dalam APM2016 akan membuka ruang untuk mereka menembusi pasaran negara jiran.

Sejarah Ayda Jebat, Yuna

Jika Caliph Buskers diiktiraf sebagai terbaik, lain pula dengan kejayaan yang diraih oleh penyanyi Ayda Jebat apabila membawa pulang tiga kategori anugerah popular.

Pada malam tersebut, Ayda, 24, yang tercalon dalam lima kategori merangkul kemas anugerah Artis Paling Popular APM2016, Lagu Paling Popular APM2016 dan Ikon Media Sosial.

“Kejayaan pada malam ini menjadi saksi kepada jatuh bangun saya dalam industri. Terima kasih semua,” ujarnya.

Paling membanggakan, APM2016 memilih penyanyi kelahiran negara yang semakin galak membina nama di persada antarabangsa, Yuna selaku penerima Anugerah Rentas Planet.

Pengiktirafan itu diberi kepada Yuna atau nama penuhnya, Yunalis Zarai kerana kejayaan yang dilakar penyanyi itu dalam bidang nyanyian di negara Amerika Syarikat. Yuna bagaimanapun tidak dapat hadir kerana terikat dengan siri jelajah konsertnya di New York.

Menerusi satu kiriman video, Yuna merakamkan perasaan syukur atas pengiktirafan itu selain mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan keluarga kerana sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti seninya.

Bukan hanya itu, beberapa kategori dalam APM2016 juga menobatkan beberapa muka baharu antaranya penyanyi dari Indonesia, Raisa yang membawa pulang dua kategori iaitu Artis Terbaik Wanita menerusi lagu Kali Kedua dan Duo/Kumpulan Terbaik bersama Afgan menerusi lagu Percayalah.

Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasi 2015 (AF2015), Sufi Rashid turut membawa pulang dua anugerah bagi kategori Lagu Paling Popular menerusi lagu Kisah Dua Muka dan Artis Paling Popular (Singapura) APM2016.

Malam anugerah APM2016 turut mengiktiraf komposer terkenal S. Atan sebagai penerima Anugerah Khas Planet Muzik.

Biarpun era kegemilangan komposer itu bukanlah pada masa kini, tetapi jasanya kepada industri dunia hiburan sangat besar. Sejak menjadi komposer sekitar tahun 1972, beliau sudah bekerja dengan banyak nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah dan Allahyarham Sudirman Arshad selain menjadi pencipta lagu-lagu popular antaranya Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Kenangan Manis.

Tidak hanya itu, kumpulan Musikimia turut melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan selaku pemenang anugerah Band Terbaik dan Lagu Terbaik (Indonesia) menerusi lagu Dan Bernyanyilah.

Apa yang pasti, objektif pentas APM menjadi medan sebenar untuk mengiktiraf karya-karya terbaik dan popular dari gabungan tiga buah negara serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura tercapai.

Sejak APM2011 sehingga kini, sudah enam kali APM yang turut dibawakan oleh One Drop Perfumes bersiaran secara langsung dari negara Singapura selepas kali terakhir diadakan di negara ini menerusi APM2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Baca lagi: APM 2016: Ayda Jebat Rangkul 3 Trofi

LEAVE A REPLY