Anwar

Siapakah di antara mereka layak menjadi Perdana Menteri akan datang. Datuk Sri Anwar Ibrahim, atau Tun Dr. Mahathir Muhamad?

Dua nama itu memang disebut-sebut di kalangan Pakatan Harapan untuk menjadi Perdana Menteri akan datang selepas dapat tumbangkan BN dan UMNO dalam pru-14.

Pengerusi PKR, Datuk Sri Wan Azizah kata, seorang perdana menteri harus dipilih dari parti itu jika UMNO dan BN benar-benar tumbang dalam pilihan raya nanti, sementara AnWar menghabiskan saki baki penahanannya di penjara.

Tun M pula telah menyuarakan kesanggupannya kembali menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan mendapat undi terbanyak dalam pilihan raya yang entah bila akan diadakan.

Jika itu berlaku, sudah pasti satu lagi sejarah tercipta di Malaysia. Tun M menjadi perdana menteri buat kali kedua dengan parti yang berbeza.

Bagaimanapun, apakah dengan usia menjangkau 94 tahun Tun M masih mampu menjadi ketua negara yang baik. Saya tidak kata dia dah tua, tapi saya khuatirkan tenaga mental dan fizikalnya. Apakah dia masih mampu memikul tanggung jawab terberat itu, terutamanya untuk memulihkan ekonomi negara yang kononnya telah dimusnahkan oleh Najib.

Apakah Anwar bersetuju kalau Tun M menjadi perdana menteri sementara sehingga hukuman penjaranya selesaiā€¦?

Namun orang yang menyebut nama Tun M sebagai perdana menteri bukanlah Wan Azizah, tetapi dari kelompok DAP. Dalam hubungan ini apakah DAP mempunyai helah tersembunyi memilih Tun M, dan bukannya orang lain sebagai perdana menteri akan datang.

Walau siapa pun yang memilih Tun M, itu sebenarnya kurang penting. Yang penting adalah kerenah Tun M sendiri.

Semasa dia menjadi Perdana Menteri dulu pun, tidak ada yang tahan menjadi timbalannya. Bermula dengan Tun Musa Hitam yang merupakan timbalan perdana menteri pertama meletak jawatan. Diganti oleh Tun Ghafar Baba yang berakhir dengan meninggal dunia pada 2006. Selepas Tun Ghafar muncul pula Anwar Ibrahim yang merupakan timbalan perdana menteri pertama dipecat dari kerajaan dan menyusul selepas itu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian menggantikan Tun M sebagai perdana menteri.

Melihat keadaan itu saya kurang pasti Anwar Ibrahim akan selesa duduk dalam satu kerajaan pakatan dengan Tun M untuk meneraju negara. Meskipun dalam politik tidak ada yang kekal antara kawan dan lawan, tetapi parut sukar hilang meskipun lukanya sudah sembuh.

Sebagai timbalan perdana menteri yang pertama dipecat, Anwar pasti menyimpan dendam yang sukar dihapuskan. Apalagi selepas pemecatannya daripada jawatan timbalan perdana menteri usianya lebih banyak dihabiskan di dalam penjara daripada di rumah.

Kerenah Tun M bukan setakat terhadap timbalan-timbalannya, tetapi juga terhadap perdana menteri selepasnya.

Kalau Tun M berkata, dia mahu Najib ditolak kerana banyak menghabiskan wang negara sehingga ekonomi Malaysia meleset teruk, apa pula alasannya semasa mengkiritk Tun Abdullah Badawi semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

Saya rasa ramai masih ingat kritikan-kritikan pedas Tun M terhadap Tun Abdullah yang dikatakan suka tidur di parlimen dan jambatan bengkok.

Oleh itu, saya tidak memilih kedua-duanya, Anwar atau Mahathir sebagai perdana menteri akan datang.

Ramlee Putih adalah pembaca Malaysian Access. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan MA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here