ANUGERAH MELODI 2016
Cover image via Berita Harian

Program hiburan popular Melodi buat julung kalinya menganjurkan Anugerah Melodi 2016 pada 10 Disember ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Dalam anugerah itu, 10 kategori dipertandingkan dengan lima finalis bagi setiap kategori, manakala kategori Personaliti Sensasi Melodi 2016 pula dipilih sebagai anugerah utama.

Pemenang pula dipilih berdasarkan 100 peratus undian peminat.

Penerbitnya Michelle Wee berkata, anugerah itu bertujuan untuk mengiktiraf artis dengan cara yang lebih positif dan bukannya diukur dengan kontroversi.

“Pada peringkat awal kami menyenaraikan 20 artis bagi setiap kategori sebelum memilih calon Top 5. Jadi untuk pemenang, kami serahkan 100 peratus kepada kuasa peminat.

“Bagi anugerah utama, pemilihan sensasi itu bukan saja dari segi penampilan, tapi merangkumi semua aspek dalam kerjaya. Kita menilai dari segi positif saja tanpa mengangkat perkara yang membabitkan kontroversi,” katanya dalam sidang media di Theaterette, Balai Berita NSTP di sini, hari ini.

Michelle berkata, anugerah ini sepatutnya berlangsung pada 2014 lalu tetapi ditunda disebabkan tragedi kehilangan pesawat MH370.

“Ini satu permulaan untuk kami dalam mengiktiraf artis tanah air. Insya Allah sekiranya anugerah ini mendapat sambutan, kami merancang untuk mengadakan ia sebagai acara tahunan,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Ayda Jebat tidak menyangka apabila dia tercalon dalam tiga kategori termasuk anugerah utama.

“Setiap kali tercalon dalam mana-mana acara anugerah, saya tak pernah meletak sebarang harapan. Saya hanya berusaha. Kalau dapat, ia adalah rezeki.

“Lagipun ini adalah tahun pertama Melodi menganjurkan acara berprestij sebegini. Saya tak fikir pun nak bersaing, tetapi ini adalah masa terbaik untuk peminat setiap artis menjalankan undian,” katanya.

Ayda yang juga penyanyi lagu Pencuri Hati tercalon dalam kategori Personaliti Muzik Melodi, Personaliti Media Sosial Melodi dan Personaliti Sensasi Melodi 2016.

Selain Ayda, Zizan Razak juga tercalon dalam tiga kategori, manakala Awal Ashaari, Mira Filzah dan Janna Nick tercalon dalam dua kategori.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Personaliti Filem Melodi, Personaliti Muzik Melodi, Personaliti Drama Melodi, Personaliti Pengacaraan Melodi dan Personaliti Sukan Melodi.

Turut dipertandingkan Personaliti Komedi Melodi, Personaliti Pasangan Sensasi Melodi, Personaliti Media Sosial Melodi, Personaliti Fesyen Melodi dan Personaliti Sensasi Melodi 2016 selaku anugerah utama.

Undian boleh dibuat menerusi www.anugerahmelodi.com.my bermula 31 Oktober sehingga 30 November ini.

LEAVE A REPLY