andainya takdir
Cover image via Harian Metro

Siapa yang dapat menidakkan aura dan kehebatan dimiliki penyanyi ternama Anuar Zain dalam bidang muzik tanah air? Bukan saja bingkisan album kelimanya cukup dinantikan peminat, video muzik single terbarunya, Andainya Takdir sudah pun trending di laman YouTube dan mendapat hampir 500,000 tontonan sejak dilancarkan 22 September lalu.

Andainya Takdir adalah single pertama daripada album kelima Anuar yang akan berada di pasaran pada Oktober ini.

Buat masa ini, video muzik Andainya Takdir mendapat maklum balas baik dan begitu menyentuh hati penonton. Ramai terharu menghayati keindahan lagu ciptaan komposer Helen Yap dan penulis lirik Habsah Hassan itu.

Video muzik arahan Amor Rizan ini menceritakan kisah seorang isteri yang sanggup melupakan anak dan suami di kampung demi mengejar cita-citanya menjadi pelakon.

Apa yang menarik, video muzik itu menampilkan gandingan mantap gandingan Anuar bersama Sharifah Sakinah dan pelakon kanak-kanak terbaik, Puteri Balqis.

Selaku pengarah, Amor akui cukup berbesar hati bekerja dengan Anuar buat julung kalinya.

“Meskipun Anuar bukan pelakon sepenuh masa, dia mampu mendengar dan melakukan apa yang saya mahukan sekali gus menzahirkan emosi dan ekspresi wajah yang dimahukan. Dia tidak cerewet melakonkan watak nelayan malah memakai baju lusuh demi menjiwai watak itu.

“Anuar juga tahu apa yang dimahukannya dalam dalam video klip ini. Penggambaran video klip ini berlangsung pada 16 Ogos lalu selama 3 hari,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Sakinah pula, kata Amor, aktres cantik itu memang calon tepat untuk melakonkan watak utama sebagai Syazrina Hanif, ‘isteri’ kepada Anuar.

“Saya sangat puas hati kerana keserasian antara Anuar dan Sakinah wujud dan mampu menjiwai watak masing-masing mengikut jalan cerita.

“Watak sedih dan kecewa memang makanan Sakinah dan Balqis,” katanya lagi.

Sakinah gementar jumpa Anuar

Sakinah akui dia rasa sangat bertuah kerana terpilih untuk berlakon dalam video muzik Anuar itu.

“Maklumlah, dari ramai artis wanita popular disenaraikan, saya pula yang akhirnya jadi pilihan pengarah dan Anuar. Saya tidak menyangka akan bergandingan dengan Anuar sebagai suami isteri dalam lagu itu.

“Memang saya gementar kerana pertama kali berlakon dengan Anuar kerana memang minat dia sebagai penyanyi. Namun, Anuar sangat baik, rendah diri dan buat saya selesa. Jadi ia memudahkan kami mendapat keserasian dalam menjiwai watak,” katanya.

Beliau berkata, kali pertama mendengar lagu itu dia sendiri sudah tidak dapat menahan sebak.

“Saya sudah berikan yang termampu dan jika peminat menyukai lakonan kami, itu adalah bonus untuk kami memberikan yang terbaik lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Anuar turut akui puas hati dengan prestasi lakonan Sakinah dan Balqis.

“Pada mulanya saya tidak tahu pun Sakinah yang akan berlakon dalam video muzik ini kerana ada beberapa nama pelakon wanita lain disenaraikan.

“Selepas dimaklumkan pihak produksi Sakinah terpilih, saya berasa gembira kerana dia juga seorang pelakon dan pengacara berbakat di Malaysia.

“Terus terang, saya turut terbawa-bawa emosi sedih ketika berlakon dalam video muzik itu sehingga beberapa hari. Mungkin kerana ada momen tertentu ia ada sedikit sebanyak kaitan dengan pengalaman hidup saya yang lalu,” katanya.

Apa yang menarik kata Anuar, jalan cerita dalam video muzik lagu Andainya Takdir bakal bersambung dalam lagu seterusnya.

“Kisah itu belum berakhir dan ia akan bersambung pada video muzik untuk sebuah lagu lain pula. Ini salah satu strategi promosi kami untuk album terbaru saya. Jadi peminat kena bersabar menunggu,” kata Anuar yang sebelum ini cukup popular dengan lagu Mungkin, Jangan Bersedih Lagi, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih.

Kali terakhir Anuar berlakon adalah menerusi filem Bintang Hati bersama Amy Mastura arahan Aziz M Osman, 12 tahun lalu.

Baca lagi: Anuar Zain di Titian Yang Selesa

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here