anis al-idrus
Cover image via mStar

KISAH putus cinta antara penyanyi dan pelakon Anis Al-Idrus bersama pelakon Raja Afiq sebenarnya bukan lagi rahsia. Sempat menjalin percintaan dalam tempoh lima bulan, kedua-duanya kini sudah mula membawa haluan sendiri.

Tidak mahu terus bersedih dengan episod duka tersebut, Anis atau nama sebenarnya, Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus, 28, yang ditemui semasa pelancaran Estetika Medispa di Shah Alam, Selangor baru-baru ini kelihatan sungguh ceria dan positif terhadap setiap persoalan yang dilontarkan kepadanya.

Bukan sahaja aktif dalam dunia perniagaan, lakonan dan nyanyian, wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu juga mula serius menimba pengalaman dalam dunia pengacaraan pula.

Bagaimanakah kehidupan Anis selepas putus cinta dengan Raja Afiq?

ANIS: Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih gembira dan tenang. Perniagaan juga bertambah maju. Tidak lama lagi saya akan membuka satu lagi cawangan perniagaan di Alam Avenue, Shah Alam. Saya sendiri akan menguruskan ketiga-tiga perniagaan iaitu Anisalidrus Wardrobe, Anisse Beauty dan Annisse and Babe. Selain itu, dalam aktiviti seni pula saya mula melebarkan sayap dalam bidang pengacaraan.

Rancangan apa yang sedang anda kendalikan kini?

Saya kini sedang sibuk menjadi pengacara untuk rancangan realiti Mimbar Pencetus Ummah musim keempat (PU4) dan Serambi PU4. Untuk Serambi PU4 saya dikehendaki mengacarakan secara rakaman tetapi untuk Mimbar PU4 pula, cabarannya adalah saya perlu mengendalikan rancangan itu secara langsung.

Bagaimana pula dengan karier nyanyian dan lakonan anda?

Setakat ini saya memberi fokus selama tiga bulan untuk rancangan PU4 yang memerlukan komitmen pada setiap hari Rabu, Khamis dan Ahad. Masa yang selebihnya pula saya fokus kepada perniagaan.

Insya-Allah selepas tamat PU4, saya akan masuk ke studio rakaman untuk mengeluarkan single baharu. Dari segi lakonan pula, pada bulan Januari nanti saya akan tampil dalam sebuah telefilem berjudul Fantasia Bulan Madu. Ia akan ditayangkan di RTM sempena penghargaan kepada Allahyarham P. Ramlee.

Anda diberi tugas untuk mengendalikan rancangan berbentuk islamik tetapi pada masa sama kerap dikaitkan dengan lelaki, adakah perkara tersebut akan mengganggu reputasi anda?

Sebenarnya itu semua adalah tanggapan orang. Saya tidak boleh menghalang jika mereka ingin bercakap negatif. Malah, pihak produksi dan penerbit juga tidak mempersoalkan perkara ini kerana ia bukan daripada mulut saya. Saya hanya menjalankan tugas yang telah diamanahakan.

Apa yang anda rasa apabila sering dikaitkan dengan kisah cinta berbanding bakat dalam karier seni?

Sebenarnya benda-benda begitu adalah perkara biasa. Masyarakat akan lebih tertarik kepada gosip. Saya seorang yang positif, apa sahaja perkara negatif yang dilemparkan, saya akan tukar ia kepada positif dan buat sahaja apa yang saya suka.

Berbalik kepada kisah putus cinta bersama Raja Afiq. Anda pernah menyatakan akan mendedahkan punca sebenar perpisahan itu berlaku, adakah anda sudah bersedia untuk berkongsi hal itu?

Saya minta maaf, buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan kerana hendak menghormati keluarga saya dan pihak-pihak yang terlibat.

Adakah ia melibatkan isu yang berat sehingga anda memerlukan masa untuk mendedahkan kepada peminat?

Pada saya ia tidaklah terlalu berat tetapi hal yang saya ingin perbentangkan kelak akan menyebabkan semua orang membuka mata mereka.

Adakah kisah putus cinta ini akan membuatkan anda serik untuk bercinta semula?

Tidak, saya memang memandang perkara ini ke arah positif. Pengalaman yang dilalui inilah yang menjadi pengajaran dalam kehidupan saya. Semuanya terpulang kepada jodoh dan saya serahkan kepada ketentuan Allah.

Baca lagi: Pengakhiran Hubungan Raja Afiq, Anis Al Idrus

LEAVE A REPLY