anak muda

Generasi muda hari ini merupakan penggerak utama kepada kemajuan sesebuah negara dan golongan ini dilihat sebagai pemimpin masa hadapan dan pencorak masa depan Malaysia yang kita cintai.

Penglibatan generasi muda dalam pelbagai lapangan sememangnya menjadi harapan terpenting negara, malah generasi muda sebenarrnya wajar dibiarkan untuk terlibat dalam hal-hal yang lebih dewasa termasuk politik dan isu-isu yang berkaitan.

Setiap dasar atau apa-apa rancangan yang mahu dijalankan oleh Kerajaan perlu menyuntik elemen yang mampu menarik perhatian golongan muda untuk turut sama menyumbangkan idea.

Era Kerajaan mengetahui segala-galanya sering dilaung-laungkan oleh pihak Kerajaan sebagai telah lama berakhir.

Namun, apa yang diperhatikan Kerajaan sedia ada masih cuba menunjuk kuasa terhadap aspirasi dan impian orang-orang muda.

Kadangkala kita lihat corak pemikiran generasi muda hari ini cuba dipalitkan dengan bentuk pemikiran lama dan tidak membina. Sebenarnya, generasi muda hari ini wajar diberikan peluang untuk terlibat dalam aspek pembangunan negara dari pelbagai segi.

Wajar kita perhatikan mengapa sebilangan besar golongan muda tidak berminat mencampuri urusan politik negara, malah kemahuan mereka untuk mendaftar diri sebagai pengundi juga agak rendah.

Ini merupakan satu hal yang wajar diberikan perhatian kerana kemungkinan besar anak-anak muda ini cukup muak dengan permainan politik golongan tua yang penuh sengketa.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan lebih 4 juta rakyat Malaysia belum mendaftar diri sebagai pengundi dan lebih meresahkan majoriti daripada angka ini adalah golongan muda berusia 21 tahun.

Apa yang kita boleh simpulkan anak-anak muda kemungkinan merasakan mengundi tidak membawa apa-apa faedah kerana tidak ada apa-apa perubahan konkrit dapat dibawakan.

Malah ada dalam kalangan anak muda seperti ini yang lebih mempercayai revolusi jalanan boleh membawa perubahan total dalam struktur politik negara.

Ini merupakan satu pemikiran salah yang sebenarnya memberikan ancaman kepada pemahaman demokrasi negara. Anak-anak muda perlu dipupuk dengan kesedaran bahawa demokrasi melalui pilihan raya ialah saluran terpenting untuk menyuarakan pandangan dan membantu membina Kerajaan yang lebih baik.

Sistem pilihan raya ini merupakan jalan paling stabil berbanding revolusi jalanan yang boleh disifatkan bakal membawa kepincangan lebih besar.

Generasi muda harus diberikan kepercayaan dan suara mereka harus didengar kerana mereka membawa suara masa hadapan yang mampu membentu negara ke arah masa depan lebih baik.

Anak-anak muda ini perlu dijelaskan bahawa jika mereka menggunakan kuasa mengundi dengan bijak, sudah tentu apa-apa perubahan positif yang diingikan pasti berlaku.

Golongan muda di Malaysia kini hari memerhatikan dengan jelas apa yang sedang berlaku dalam Pilihan Raya United Kingdom (UK) yang sedang berlangsung. Kita lihat bagaimana Parti Buruh berjaya memberikan saingan cukup sengit kepada Parti Konservatif yang sedang memerintah.

Jelas sekali undi golongan muda telah membuatkan Parti Konservatif berada dalam keadaan tidak selesa dan hanya mendahului dengan jumlah undi cukup tipis. Ini mewujudkan kemungkinan kerajaan campuran terpaksa dibentuk di negara berkenaan.

Kita lihat bagaimana bila anak-anak muda menggunakan kuasa demokratik, dunia pasti bergoncang. Reaksi anak-anak muda UK yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan pilihan golongan tua yang mahukan Brexit, telah jelas dapat kita lihat dalam senario semasa pilihan raya UK kini.

Anak muda, jangan bimbang kuasa demokratik ialah kuasa terpenting yang harus digunakan untuk kepentingan semua dan kesedaran terhadap kepentingan wajib ditanamkan dalam setiap jiwa muda di negara yang tercinta ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here