amyra rosli
Cover image via @aamyrarosli

PETANG Jumaat lalu, dalam hujan membasahi bumi, pasangan pelakon, Amyra Rosli dan Amar Baharin telah selamat disatukan sebagai suami isteri.

Disaksikan keluarga dan pihak media, hanya dengan sekali lafaz Amyra sah menjadi milik Amar dalam sebuah majlis akad nikah yang disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Rosli Awang di Hotel Premiera, Jalan Tunku Abadul Rahman, Kuala Lumpur.

Biarpun kerap melakonkan adegan perkahwinan dan pernah ‘dinikahkan’ dalam drama rantaian Cik Bunga dan Encik Sombong, debaran hati kedua mereka sangat berbeza pada majlis pernikahan sendiri. Riak gusar dan gementar terpancar jelas di wajah Amar ketika dia melangkah masuk ke dewan pernikahan.

Begitu juga dengan Amyra, sambil menggenggam erat tangan ibu yang merangkap pengurus peribadinya, wanita berusia 25 tahun itu cuba menyembunyikan perasaan gementar dengan melempar senyuman paling manis kepada setiap hadirin yang hadir.

Usai disahkan sebagai suami isteri, riak gementar beberapa minit sebelum itu pantas diganti dengan senyuman tanda kelegaan apabila episod cinta selama dua tahun akhirnya bertitik noktah dengan sebuah ikatan perkahwinan.

“Hilang semua pelbagai rasa sebelum majlis akad nikah apabila majlis selesai. Walaupun sebak tetapi saya gembira kerana telah menjadi seorang isteri. Sebenarnya saya masih berasa pelik untuk membahasakan diri sebagai isteri (ketawa). Rasa bagai tidak percaya pun ada, namun mulai sekarang itulah status saya dan harus membiasakan diri dengan perkataan isteri mulai saat ini,” kata Amyra yang ditemui usai majlis pernikahan selesai.

Meskipun Amyra pernah melalui episod hitam apabila majlis perkahwinannya bersama bekas tunang yang juga seorang pelakon, Dazrin dibatalkan saat-saat akhir pada 2014, perasaan takut andai sejarah itu berulang buat kali kedua dibuang jauh ketika persiapan perkahwinan dilakukan.

“Tidak timbul langsung perasaan takut akan sejarah tersebut kerana saya telah lupakan kisah silam. Sekarang saya ada kehidupan baharu dan kisah cinta bersama Amar serta keluarganya. Sebesar zarah pun saya tidak ingat langsung tentang perkara yang sudah lepas.

‘‘Lebih indah apabila saya terus memandang ke hadapan daripada mengingati kisah silam,” ujar Amyra yang menerima mas kahwin sebanyak RM1,111 sempena tarikh perkahwinan 11 November 2016.

Dalam pada itu, Amar yang setia di sebelahnya tidak henti mengucapkan rasa syukur apabila majlis pernikahannya berlangsung dengan cukup sempurna. Menurutnya, atas kesibukan kerjaya menyebabkan mereka hanya berkesempatan bertemu hanya lima hari sebelum majlis pernikahan. Mereka bernasib baik kerana keluarga, terutamanya ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad yang juga pengurus peribadi Amar membantu membuat segala persiapan.

Saat diminta mengimbas kembali putik percintaan mereka, hanya derai tawa yang mengiringi persoalan itu. Kata Amar, mereka mulai rapat sejak kedua-duanya terlibat dalam drama rantaian popular Suamiku Encik Sotong sekitar awal tahun 2015.

Selain drama tersebut, mereka juga digandingkan dalam beberapa buah drama lain seperti Dalam Dakapan Bidadari, Kristal Maya, Kalimah Jiwa, Cik Bunga Encik Sombong, Tersuka Tanpa Sengaja dan terbaharu, Cinta Di Langit Cardiff.

“Kami kerap digandingkan dalam drama dan menjadi rapat sehinggalah dia menjadi isteri saya. Sejujurnya kami tidak pernah ‘declare’ (buat pengesahan) sebagai pasangan kekasih seperti orang lain.

‘‘Selepas keluarga masuk merisik Amyra pada September 2014, barulah saya rasa hubungan kami menjadi rasmi. Cuma majlis merisik itu dirahsiakan dan kami mula mendedahkan hubungan kepada umum selepas majlis pertunangan pada 22 Julai lalu,” tutur Amar yang berusia 31 tahun.

Istimewa

Berbicara tentang keistimewaan wanita yang memiliki nama penuh, Nur Amira Izzati, 25, senyuman mula menguntum di bibir Amar. Jelas rasa bahagia merajai hatinya, sambil tidak henti tersenyum dan sesekali menoleh ke wajah wanita yang dicintainya, Amar berkata:

“Hati saya menjadi sejuk apabila melihat Amyra. Kami banyak persamaan kerana selain kerjaya, kehidupan saya hanya tertumpu kepada Amyra serta keluarganya sepanjang berkenalan.

“Saya boleh kongsikan apa sahaja dengannya tanpa batasan. Dia juga seorang penasihat serta pendengar yang baik.”

Amyra yang dilihat masih sarat dengan sifat keanak-anakan tertawa manja apabila diminta menceritakan keistimewaan suami sehingga berjaya membuka hatinya untuk kembali bercinta dan berumah tangga pada usia muda.

“Amar seorang yang budiman dan sentiasa mendahulukan saya dalam apa juga perkara tidak kira susah atau senang. Selain itu, perangainya juga mirip dengan bapa, sebab itu saya tertarik untuk masuk ke dalam kehidupannya.

‘‘Dia juga amat mengambil berat dan mahu saya sentiasa ada dengannya. Selain suami, dia juga seorang sahabat tempat saya mengadu dan peranan itu mahu dikekalkan selamanya,” kata Amyra.

Mengakui hubungan suami isteri pasangan selebriti lebih banyak cabaran dan likunya berbanding orang biasa, tegas Amyra, sejak mereka bercinta sehinggalah diijabkabulkan, dia mengambil langkah untuk tidak mendengar kata negatif orang luar. Justeru, Amyra yakin mereka mampu melayari bahtera perkahwinan sebaik mungkin.

Selesai majlis perkahwinan termasuk resepsi pihak perempuan yang diadakan sehari selepas majlis pernikahan di lokasi sama serta sebuah majlis sambut menantu penuh istiadat kemelayuan yang berlangsung pada 19 November di Ampang, Kuala Lumpur sebelah keluarga lelaki, Amar dan Amyra memilih untuk tinggal berasingan dengan keluarga.

Bagaimanapun menurut Amar, dia sengaja memilih kediaman yang jaraknya hanya lima minit dari rumah keluarga Amyra. Bukan tidak yakin untuk tinggal jauh dan berdikari tetapi jarak dekat dengan keluarga Amyra memudahkan urusan kerjaya mereka berdua sementelah keduanya diuruskan oleh ibu mertuanya.

“Saya telah mencari rumah lima bulan lalu dan memang sengaja pilih rumah yang dekat dengan keluarga Amyra. Bagi saya biar ada privasi tetapi pada masa yang sama kami masih boleh mengekalkan hubungan rapat seperti dahulu,” ulasnya yang memilih Tokyo, Jepun sebagai destinasi bulan madu.

Kerjaya

Beralih status sebagai suami isteri mungkin mengubah cara kerja mereka selaku pelakon di layar kaca. Namun, selepas dua tahun mengenali isterinya, Amar meletakkan seratus peratus keyakinan dan kebebasan untuknya bekerja seperti biasa.

Tiada sebarang sekatan mahupun syarat yang dikenakan ke atas Amyra untuknya terus bergelar pelakon. Cuma sebagai isteri, Amar yakin Amyra mampu berfikir secara rasional tentang batas apabila bekerja.

“Saya memang percayakan Amyra kerana dia pandai menjaga diri sebagai pelakon serta individu. Jadi, tidak perlu bimbang dan meletakkan sebarang syarat. Selepas ini, dia masih boleh teruskan kerjaya seperti biasa. Sikapnya itu yang menarik hati saya dan tidak manis untuk cuba mengubahnya setelah dia menjadi isteri. Biarlah dia sendiri fikir tentang batas dan tanggungjawabnya,” ujar Amar.

Sungguhpun begitu, Amar akan berfikir panjang andai diminta bergandingan dengan isterinya dalam sebuah karya. Bukan menolak rezeki tetapi Amar mendapat banyak nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman supaya elakkan bekerja dengan isteri.

“Jika boleh, saya akan cuba kurangkan berlakon dengan Amyra. Andai ada tawaran, saya akan fikir dan meneliti skrip terlebih dahulu. Sebab saya bimbang andai ada kaitan dengan hukum agama yang boleh menjejaskan perkahwinan kami,” tuturnya.

Disoal tentang cahaya mata, Amar mahupun Amyra bersikap terbuka dan tidak mahu merancang kerana menyifatkan anak itu anugerah Allah. Biar usia perkahwinan masih baharu, kehadiran segera cahaya mata akan menyerikan lagi rumah tangga mereka.

“Saya kalau boleh mahu menjadi bapa dengan segera. Tidak kisah andai diberi rezeki awal dan jika boleh mahu anak tiga atau empat orang seperti adik-beradik Amyra. Doakan kebahagiaan kami,” kata Amar menutup bicara.

Baca lagi: Amyra Rosli, Amar Baharin Nikah 11 November Ini

LEAVE A REPLY